Home Ekonomi Indonesia keluar permit eksport minyak sawit hari ini

Indonesia keluar permit eksport minyak sawit hari ini

Gambar hiasan

JAKARTA – Kementerian Perdagangan Indonesia telah menerima beberapa permohonan permit eksport minyak sawit yang boleh diberikan dalam tempoh sehari, kata pegawai kanan kementerian, Veri Anggriono.

Indonesia, pengeluar minyak sawit utama dunia, membenarkan eksport minyak sawit disambung semula mulai 23 Mei, tetapi syarikat telah menghadapi halangan kawal selia yang telah memperlahankan proses pengeluaran penghantaran.

“Sehingga pagi ini terdapat lima hingga enam syarikat yang telah mengemukakan permintaan dan sistem akan segera memprosesnya. Kami berharap permit boleh dikeluarkan hari ini,” kata Veri.

Beliau berkata, Indonesia menyasarkan untuk membenarkan 1 juta tan eksport minyak sawit berdasarkan jumlah jualan domestik syarikat di bawah program minyak masak pukal kerajaan, yang dilancarkan sebelum larangan eksport.

Veri tidak menyatakan jangka masa untuk peruntukan eksport.

Bagi mengekalkan bekalan minyak masak bagi pasaran domestik, Indonesia telah melaksanakan Tanggungjawab Pasaran Domestik (DMO) untuk minyak sawit dan mewajibkan pengeksport membekalkan minyak sawit untuk program kerajaan bagi pengedaran minyak masak pukal.

Jumlah syarikat yang dibenarkan untuk mengeksport bergantung kepada kapasiti penapisan dan permintaan minyak masak domestik, menurut peraturan kementerian perdagangan yang dikeluarkan minggu lepas.

Veri berkata, nisbah eksport dan pengagihan domestik meletakkan DMO sekitar 20 peratus.

Setiausaha Agung Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPK), Eddy Martono berharap eksport boleh dikembalikan tidak lama lagi ke paras sebelum larangan iaitu 2.5 juta hingga 3 juta sebulan.

Indonesia pada April lalu telah mengenakan larangan eksport selama tiga minggu dengan harapan dapat mengawal harga minyak masak domestik yang melambung tinggi.

Dasar itu mengejutkan pasaran global yang sudah berada di bawah tekanan akibat kekurangan minyak bunga matahari yang disebabkan oleh perang di Ukraine. – Reuters