KUALA LUMPUR – Keputusan rasmi Pemilihan PKR 2022 akan diumumkan pada 25 dan 26 Jun depan.
Pengumuman akan dibuat ketika berlangsungnya Kongres Nasional PKR 2022.
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa apabila memaklumkan keputusan yang akan diumumkan pada kongres itu adalah muktamad.
“Mulai semalam, keputusan tidak rasmi di peringkat cabang dipamerkan di laman sesawang Pemilihan Keadilan 2020 seperti mana yang sudah dijadualkan.
“Keputusan diumumkan ini masih tertakluk aduan dan bantahan yang sudah diterima dan yang masih dalam proses siasatan oleh Panel Aduan JPP, sebelum pengumuman keputusan rasmi dibuat di Kongres PKR 25 dan 26 Jun ini,” katanya menerusi kenyataan.
Kongres sayap PKR, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR dijadual berlangsung 25 Jun sementara sehari selepas itu adalah kongres nasional.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menang jawatan Timbalan Presiden PKR, menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Rafizi yang menguasai keseluruhan undian di semua negeri kecuali Sabah dan Perlis, memperoleh 68,992 undi, mengatasi Saifuddin yang memperoleh 50,038 undi.
Empat slot Naib Presiden PKR pula dimenangi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Amiruddin mendapati undian tertinggi di Selangor memperoleh 52,845 undi keseluruhan diikuti Lih Kang (41,290 undi), Nik Nazmi (40,506 undi) serta 38,894 undi diperoleh Aminuddin.
Bagi saingan Ketua AMK dimenangi bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim yang memperoleh 13,650 undi, mengatasi pesaingnya, Fahmi Zainol yang memperoleh 11,888 undi.
Sementara jawatan Ketua Wanita PKR pula dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, yang memperoleh 21,962 undi, mengatasi pencabarnya dengan majoriti tipis iaitu 400 undi atau 21,562 undi keseluruhan diperoleh Ahli Dewan Negara, Fadlina Sidek.
Dalam pemilihan kali ini, beberapa pemimpin kanan tewas dalam saingan merebut jawatan Naib Presiden PKR antaranya termasuk Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Samsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil Mohamed Fadzil; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid serta Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Tumpuan selepas ini adalah pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, di mana pencalonannya sudah dibuka secara dalam talian sejak semalam hingga Selasa ini.
Berdasarkan takwim Pemilihan PKR 2022, proses pengundian dan keputusan bagi 20 jawatan AMK dan wanita dijadualkan berlangsung pada Kongres AMK dan Wanita pada 24 Jun ini, manakala pengundian dan keputusan bagi 20 jawatan MPP pada Kongres Nasional pada 25 Jun depan. – MalaysiaGazette