KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati ditegur supaya jangan mencuri wang ibu sendiri, seorang lelaki naik angin dan mengamuk menggunakan pisau pemotong sayur.
Suspek dikatakan mahu menyerang seorang jurujual komputer yang juga rakannya di sebuah gerai makanan di Jalan Pandah Indah 4/2, Pandan Indah, Ampang di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohammad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengadu warga tempatan berusia 36 tahun itu.
Pengadu mendakwa pada pukul lebih kurang 12.30 tengah malam semasa dia berada di kawasan gerai makanan berkenaan, dia telah didatangi suspek lelaki yang dikenalinya.
“Suspek tiba-tiba mengamuk dan mengacukan sebilah pisau pemotong sayur untuk mencederakan pengadu di gerai itu.
“Pada hari yang sama lebih kurang pukul 1 pagi tadi, bertindak atas aduan pengadu, polis telah tangkap suspek berumur 32 tahun di Jalan Pandan Indah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohammad Farouk, hasil pemeriksaan terhadap suspek yang juga seorang penganggur, polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Siasatan mendapati punca kejadian kerana pengadu telah menasihati suspek agar tidak mencuri wang ibunya namun ia tidak diendahkan oleh suspek.
“Semakan ke atas suspek didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah. Suspek telah direman selama empat hari sehingga 2 Jun ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah yang memperuntukkan dihukum dengan penjara tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette