Home Nasional Lelaki pamer pistol semasa memandu ditahan polis

Lelaki pamer pistol semasa memandu ditahan polis

Kelibat seorang pemandu kereta yang menayangkan pistol di luar tingkap semasa memandu yang tular di media sosial sebelum diberkas polis semalam. Ihsan Polis PJ.

PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki kerana menunjukkan pistol semasa memandu kereta berhampiran sebuah pusat membeli belah di Damansara, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perbuatan lelaki tersebut telah dirakam oleh seorang individu pada jam 6.15 petang semalam sebelum membuat laporan pada jam 7.03 malam.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat pada hari yang sama sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, di sini, pada jam 10 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira warga merah dan sepucuk pistol yang disyaki digunakan semasa kejadian itu.

“Pemeriksaan polis mendapati pistol yang dirampas dari suspek adalah pistol mainan berwarna hitam coklat disyaki digunakan semasa kejadian untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Siasatan awal polis mendapati suspek mengaku terlibat dalam insiden itu dan mendakwa bahawa pistol mainan yang dimilikinya itu adalah berharga RM2.40 dan ia merupakan milik anak buahnya berusia empat  tahun.

“Suspek turut mendakwa dia sedang bermain dengan anak buahnya menggunakan pistol mainan itu semasa memandu kereta diatas jalan raya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek yang mempunyai satu kes rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi tadi bagi mendapatkan tahan reman selama dua hari sehingga esok dalam membantu polis melengkapkan siasatan.

Tambah beliau, beliau disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette