NILAI ringgit kini jatuh teruk berbanding dengan tahun 2010 dan tahun sebelumnya apabila 1USD bersamaan dengan lebih daripada RM4. Nilai ringgit juga jatuh berbanding dengan nilai mata wang yang lain sperti dollar Singapura iaitu 1 dollar Singapura bersamaan dengan lebih daripada RM3. Meskipun terdapat ahli-ahli ekonomi yang berpendapat bahawa susutnya nilai mata wang akan memberi kesan positif kepada ekonomi seperti pengurangan import dan peningkatan eksport.
Namun tidak dapat dinafikan juga terdapat pelbagai keburukan yang harus kita ingat. Antaranya ialah berlakunya inflasi diimport. Sekiranya nilai ringgit Malaysia jatuh, barang-barang yang diimport seperti makanan dan minyak juga akan meningkat. Kebergantungan negara kita terhadap barang-barang keperluan yang diimport dan input yang diimport akan menyebabkan berlakunya inflasi diimport. Selain daripada itu, nilai eksport komoditi seperti minyak juga jatuh.
Tambahan pula, kerajaan mengumumkan bermulanya 1 May 2022, upah minimum ditingkatkan daripada RM1,200 kepada RM1,500. Ramai yang menghembuskan nafas lega terutamanya golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan. Peningkatan upah minimum ini adalah wajar bagi memastikan pendapatan mereka adalah selari dengan peningkatan kos sara hidup. Namun, hal ini juga akan menyebabkan berlakunya inflasi kerana kos buruh meningkat. Majikan terpaksa membayar upah yang lebih tinggi dan terpaksa meningkatkan harga barangan mereka.
Inflasi mungkin tidak memberi kesan yang besar kepada golongan T20, namun kesan inflasi sangat besar kepada golongan B40. Misalnya, sekiranya berlaku peningkatan RM1 dalam harga makanan, golongan T20 mungkin tidak merasa terkesan dengan peningkatan teresbut. Namun bagi golongan B40, peningkatan RM1 sangat memberi kesan kepada mereka. Apatah lagi sekiranya mereka terpaksa membelanjakan setiap hari untuk peningkatan RM1.
Baru-baru ini kerajaan meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2% adalah satu langkah yang baik kerana ia dapat mengurangkan peningkatan inflasi dalam negara. Inflasi dijangka meningkat kepada 3.05% pada tahun 2022 berbanding 2.48% pada tahun 2021. Peningkatan OPR akan meningkatkan kos kepada peminjam untuk membuat pinjaman. Hal ini akan menyebabkan inflasi terkawal. OPR perlu ditingkatkan semula setelah kerajaan menurunkan OPR semasa ekonomi berada dalam keadaan meleset akibat dilanda penularan Covid-19. Penurunan OPR pada waktu itu adalah untuk menggalakkan orang ramai untuk membuat pinjaman dan berbelanja bagi mengurangkan kesan penularan Covid-19 ke atas ekonomi.
Selain daripada itu, peningkatan OPR juga mampu meningkatkan semula nilai ringgit Malaysia. Ini adalah kerana apabila OPR ditingkatkan, ia mampu menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam negara. Oleh itu, permintaan ringgit akan meningkat dan akhirnya meningkatkan nilai ringgit Malaysia. Nilai eksport minyak juga akan kembali meningkat. Harga barang-barang keperluan yang diimport dan input yang diimport dapat dikawal dan akhirnya inflasi diimport juga dapat dikawal.
Muhamad Huzafiah Asbullah
Dr Mohd Shahidan Shaari
Faculty of Applied and Human Sciences
Universiti Malaysia Malaysia