Home Nasional Restoran mamak terpaksa gulung tikar akibat kekurangan pekerja – KIMMA

Restoran mamak terpaksa gulung tikar akibat kekurangan pekerja – KIMMA

Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader bergambar bersama tetamu komuniti India Muslim pada Majlis Rumah Terbuka Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 30 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kekurangan pekerja menyebabkan banyak pengusaha restoran India Muslim atau kedai mamak terpaksa gulung tikar selepas tidak dapat beroperasi.

Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, sehingga hari ini, kerajaan belum membawa masuk pekerja asing bagi menampung kekurangan tersebut.

“Sampai hari ini saya dimaklumkan bahawa pekerja asing akan sampai tapi tak sampai pun. Banyak kali kita utarakan isu ini kepada kerajaan untuk ambil tindakan membantu pemilik restoran tapi saya lihat mereka lebih tumpukan kepada sektor perladangan dan perkilangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Hari Raya KIMMA di  sini hari ini.

Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.Foto MUHD NA’IM, 30 MEI 2022.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim mendakwa ahli-ahlinya ada cuba mengambil rakyat tempatan untuk bekerja namun ia tidak mendapat sambutan.

“Kita pernah cuba guna pekerja tempatan dengan gaji yang tinggi tapi cuma bertahan seminggu saja kemudian mereka melarikan diri. Pemilik restoran pun lagi suka orang tempatan sebab kos menjaga mereka lebih rendah daripada pekerja asing yang perlu sediakan makan, tempat tinggal dan kesihatan,” ulasnya.

Menurut Syed Ibrahim, kekurangan pekerja bukan sahaja menjejaskan pengusaha restoran mamak malah memberikan kesan buruk terhadap kehadiran pelancong yang suka mencari kedai makan terutama menjelang lewat malam.

“Restoran mamak memang penting sebab pelancong yang datang dari luar negara mencari kedai atau restoran yang beroperasi 24 jam.

“Kalau menjejaskan perniagaan ini, secara tak langsung memberi impak buruk kepada pelancong yang datang ke negara kita. Restoran mana yang buka 24 jam? Kalau nak pergi ke hotel pun hanya sampai jam 11 malam dengan menu-menu tertentu saja, jadi tiada restoran yang buka 24 jam selain restoran India Muslim,” ujarnya.

Malah beliau menegaskan, setiap hidangan yang disediakan restoran mamak menjadi pilihan dan ingatan kepada pelancong yang pernah mengunjungi negara ini.

“Bila saya pergi ke luar negara, jika saya katakan saya dari Malaysia maka orang tempatan di situ terus kata tentang nasi kandar, roti canai. Ini bermakna mereka masih ingat makanan itu ketika mereka kunjungi ke Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette