KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes Geng Sakai pada hari ini bermula dengan tiga saksi dalam kalangan anggota polis.
Ketiga-tiga anggota polis yang menjadi saksi Mahkamah Tinggi bertanggungjawab menangkap individu yang dipercayai menjadi ketua kumpulan jenayah berkenaan, Rosli Sahak dan dua lagi individu lain.
Deputi Superintendan (DSP) Ahmad Tuah Sabran, 46 tahun merupakan anggota polis yang menangkap Rosli pada 21 Jun tahun lalu.
Beliau berkata, tangkapan tersebut susulan daripada maklumat mengenai tiga kesalahan serius yang didakwa dilakukan Geng Sakai.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak dimaklumkan secara terperinci kesalahan yang dilakukan oleh Rosli.
“Pada dasarnya taklimat ini berhubung berkenaan Geng Sakai yang telah melakukan tiga kesalahan serius,” katanya kepada mahkamah pada hari ini.
Saksi ketiga itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam yang mewakili Rosli, Datuk Sheelan Arjunan sama ada Ahmad Tuah menerima taklimat tentang anak guamnya atau tidak sebelum tangkapan.
Turut memberi menjadi saksi pada hari ini Inspektor Chua Sze Yuan, Pegawai Kanan Polis di Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak yang bertanggungjawab menangkap R. Nantha Kumar.
Manakala, saksi kedua pula adalah Inspektor Mohd Zariezul Ismail Pegawai Kanan Polis di Bahagian Pencegahan Gangsterism D7, Bukit Aman yang bertanggungjawab menangkap A. Dineswaran.
Namun, Mohd Zariezul berhadapan dengan kesukaran mengecam tertuduh di mahkamah pada hari ini kerana, katanya, perubahan fizikal.
“Saya perlu ambil sedikit masa tuan hakim, sebab masa tertuduh ditangkap beliau berbadan besar, berambut panjang, berjambang dan bermisai. Sekarang semua tertuduh yang hadir kelihatan kurus,” beliau memaklumkan hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Perbicaraan ditangguhkan dan bersambung esok apabila Timbalan Pendakwa Raya Raya, Maryam Jamielah Manaff memaklumkan dua saksi yang sepatutnya memberi keterangan di mahkamah pada hari ini tidak dapat hadir.
Sebagai rekod, kesemua 22 individu yang dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah Geng Sakai hadir di mahkamah Tinggi hari ini termasuk Rosli yang dipercayai menjadi ketua. – MalaysiaGazette