Home Nasional Bella berdiri lebih 10 jam, dijerit dengan kuat – Saksi

Bella berdiri lebih 10 jam, dijerit dengan kuat – Saksi

Siti Bainun
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Abd. Razali hadir ke mahkamah bagi pendengaran permohonan untuk mendapatkan semula lima anak angkatnya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Remaja kelainan upaya (OKU), Bella bukan sahaja didenda berdiri di tepi dinding lebih 10 jam malah pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dilihat pernah menjerit dengan kuat ke arah remaja tersebut.

Perkara itu diceritakan saksi kelapan pihak pendakwaan, Suhana Zam, 40, yang telah berkawan dengan Siti Bainun selama lebih 10 tahun sejak 2009.

Suhana berkata, dia mula mengenai Bella pada Julai 2010 selepas Siti Bainun mengambilnya sebagai anak angkat, remaja tersebut sangat ceria, berbadan sihat dan berisi.

Dia perasan Bella mula ‘didera’ pada Februari 2021 apabila  datang ke kondominium yang menempatkan remaja itu bersama kanak-kanak yang lain yang menjadi anak angkat Siti Bainun.

Menurutnya, ketika semua penghuni meraikan hari jadi, Bella didenda dengan berdiri sendirian.

“Masa itu saya bermalam di rumah kondo. Malam itu buat sambutan hari jadi Haiza. Bella tak terlibat kerana dia berdiri di bahagian dapur,” katanya.

Kejadian sama berulang pada bulan April apabila dia mahu menumpang tidur di kondomimium yang terletak di Wangsa Maju tersebut kerana kenderaanya rosak.

Menurut Suhana, ketika sampai di rumah Siti Bainun pada pukul 9 malam, dia melihat Bella berdiri di tepi dinding di bahagian ruang tamu dekat meja makan.

Remaja berkenaan kelihatan berdiri sehingga pukul 12 tengah malam.

“Dia berdiri, tidak ceria. Muka masam. Dia juga tidak berani hendak pandang ke arah saya atau orang lain. Bila kita tengok dia, dia mengalihkan pandangan. Saya nampak dia ketakutan.

“Saya sampai pukul 9 malam memang nampak Bella sudah berdiri. Sehingga saya masuk ke dalam bilik lebih kurang pukul 12 tengah malam Bella masih lagi berdiri.

“Dia nampak sedih, takut, tak bercakap dan dia pandang ke lantai sahaja,” katanya.

Menurut Suhana, melihat Bella berdiri berjam-jam lamanya telah menjadi ‘pemandangan biasa’ ketika berada di kondominium yang disewa Siti Bainun malah adakalanya Bella berdiri lebih 10 jam.

“Saya ingat masa itu bulan puasa saya berbuka dengan Siti Bainun di Chow Kit. Selepas itu pulang ke kondo pada pukul 9 malam. Saya masuk nampak Bella berdiri di dinding seperti biasa yang saya nampak sebelum ini.

“Beberapa kali tengok macam itu sudah jadi biasa Bella berdiri. Setiap kali saya pergi saya nampak bella berdiri macam itu dengan satu tempoh masa lama lebih 10 jam.

“Kadang-kala saya sampai dalam tengah hari saya nampak Bella berdiri tak duduk-duduk, sampai malam pukul 12 nak tidur Bella masih di situ,” kata Suhana.

Tambahnya, dia pernah nampak Siti Bainun menjerit dengan kuat kepada Bella sehingga dia sendiri terkejut.

Ketika itu Bella sedang duduk dengan tidak selesa selepas melukis dalam tempoh yang panjang kerana diarahkan oleh Siti Bainun berbuat demikian.

“Dia duduk melukis. Dia diberikan kertas lukisan dan pensil. Saya kesian dia duduk dalam keadaan mengantuk. Dia sudah hendak tidur. Balqis jerit ‘Bonda Bella nak tidur’.

“Bainun dari dalam bilik keluar dan menjerit dengan kuat ke arah Bella. Saya terkejut. Bella dalam keadaan nak tidur,” katanya.

Sementara itu, Suhana berkata, dia pertama kali perasan luka yang teruk pada Bella pada 21 Mei 2021 dan pada waktu itu dia merancang untuk menyambut hari raya di kondominium bersama penghuni lain.

Kecederaan yang dialami Bella di leher pada waktu itu  teruk dengan kulit melecur dan berwarna merah.

Ketika ditanya kepada Siti Bainun, pengasas Rumah Bonda itu berkata, kecederaan pada Bella dibuat oleh adik beradik angkatnya yang lain.

“Saya tanya Bainun kenapa dengan Bella ini, Bainun cakap dia bergaduh dengan adik beradik dia yang lain. Main simbah-simbah air panas.

“Adik beradik yang dia maksudkan adalah Aida dan Balqis tidak termasuk Yasmin. Bila dia kata begitu, saya tanya balik takkan kau biarkan sahaja budak-budak bergaduh macam ini.

“Jawapan dia (Bainun), tak boleh nak buat apa, Aida itu kalau dah marah hilang akal,” kata Suhana.

Perbicaraan bersambung pada 13 Jun.- MalaysiaGazette