Home Utama Belum sesuai buat PRU-15 dalam keadaan inflasi, kos sara hidup tinggi –...

Belum sesuai buat PRU-15 dalam keadaan inflasi, kos sara hidup tinggi – PM

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Peningkatan inflasi, harga barang dan kos sara hidup sekarang mungkin menjadi penghalang untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau masih menunggu waktu sesuai untuk membubarkan Parlimen.

“Kita sekarang sedang menghadapi peningkatan inflasi, dengan harga barangan yang melambung tinggi … awak rasa ia waktu yang sesuai?” soalnya dalam wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo yang disiarkan hari ini.

Beliau berkata, kenaikan harga barang makanan serta kos sara hidup dilihat berpunca dari ketegangan yang berlaku di peringkat global akibat peperangan antara Rusia dan Ukraine.

Ismail Sabri berkata, pembubaran Parlimen tidak boleh dilakukan melebihi tempoh yang dibenarkan Perlembagaan iaitu pada Ogos 2023 tetapi untuk mengadakannya lebih awal bergantung kepada situasi semasa.

“Insya Allah saya akan membuat keputusan bila waktu yang sesuai,” katanya lagi.

Beliau dalam masa yang sama menyatakan dirinya sebagai ‘orang parti’ dan akur dengan keputusan yang ditetapkan oleh UMNO dan Kabinet dalam soal pembubaran kerajaan.

Dalam Persidangan Agung UMNO baru-baru ini menuntut supaya kerajaan dan Ismail Sabri mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-15.- MalaysiaGazette