Home Nasional Dua lori berlanggar, seorang pemandu mati tersepit

Dua lori berlanggar, seorang pemandu mati tersepit

Pemandu lori maut tersepit dan parah di kepala selepas lorinya terbalik selepas dilanggar sebuah lori dari belakang di Lebuhraya Kesas, Shah Alam dalam kejadian pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori mati tersepit manakala seorang lagi pemandu lori berasingan terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dekat sini hari ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, anggotanya tiba  di lokasi pukul 11.36 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan dua buah lori muatan tiga tan yang masing-masing menghala ke arah Pelabuhan Klang.

“Kedua-dua lori berkenaan dipandu oleh lelaki warga tempatan masing-masing berusia 24 dan 44 tahun. Kejadian dipercayai berlaku selepas lori yang datang dari belakang melanggar sebuah lori di hadapannya menyebabkan lori kena langgar.

“Pemandunya hilang kawalan dan lori terbalik di bahu jalan setelah bergesel dengan sebuah lori kontena yang diparkir berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu lori berusia 44 tahun maut tersepit dan parah di kepala selepas lorinya terbalik selepas dilanggar sebuah lori dari belakang di Lebuh Raya Kesas di Shah Alam dalam kejadian pagi tadi.- Gambar ihsan Bomba SelangorTambah Norazam, akibat perlanggaran itu, pemandu lori berusia 44 tahun itu telah tersepit di bahagian hadapan dan mengalami kecederaan parah di kepala.

“Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit  namun pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang turut bergegas ke lokasi kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk dihantar ke hospital bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya.- MalaysiaGazette