Home Sukan Le Tour de Langkawi ditunda ke Oktober ini

Le Tour de Langkawi ditunda ke Oktober ini

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Le Tour de Langkawi (LTdL) yang sepatutnya berlangsung 11 Jun ditunda ke Oktober ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Keputusan tersebut dibuat susulan beberapa kejohanan berbasikal di Eropah yang turut diadakan serentak dengan tarikh yang telah dijadualkan sebelum ini.

“Kita dapati bulan Jun bertindih dengan banyak kejohanan berbasikal di Eropah kerana sekarang musim panas.

“Maka kita anjakkan dan telah dipersetujui Badan Berbasikal Dunia untuk ianya diadakan pada Oktober dan tentunya perkara ini amat penting untuk para atlet yang perlu mendapatkan markah untuk melayakkan mereka mengambil bahagian di kejohanan-kejohanan berbasikal yang lain untuk tahun depan, itulah sebabnyak kita terpaksa menganjakkan tarikh ke Oktober,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, bekas pemain badminton nombor satu, Datuk Lee Chong Wei dan atlet-atlet negara yang lain.

Namun Ahmad Faizal berkata, meskipun tarikh kejohanan tahunan berkenaan berubah namun rancangan, persediaan KBS termasuk laluan para peserta masih sama.

“Tidak ada masalah (tidak ada kesan buat KBS). Walaupun sebelum ini dirancang diadakan pada Jun namun KBS serta rakan kongsi iaitu dari pihak swasta telah berbincang dengan terperinci dengan pihak berbasikal dunia maka perkara ini tidak jadi masalah kerana saban tahun kita adakannya dengan tidak mengubah mana-mana laluan,” katanya lagi.

Sebelum ini, perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara itu sepatutnya kembali mewarnai laluan dan jalan raya di Malaysia bermula 11 hingga 18 Jun.

Kejohanan ini kembali diadakan sejak dibatalkan pada tahun lalu akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette