Home Politik Pejuang tumpu PRU15, tidak terlibat cubaan tukar kerajaan – Mukhriz

Pejuang tumpu PRU15, tidak terlibat cubaan tukar kerajaan – Mukhriz

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir

KOTA BHARU – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata parti itu hanya memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak akan terlibat dengan sebarang percubaan untuk menukar kerajaan sedia ada.

Beliau turut menegaskan parti itu tidak terlibat dalam dakwaan terbaharu bahawa Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Beliau berkata sekiranya benar, perkara tersebut perlu dibuktikan serta tidak boleh sekadar mendakwa sahaja.

“Dalam hal percaturan politik nak tumbangkan kerajaan sedia ada, tukar Perdana Menteri kami (Pejuang) tak campur tangan. Kami pun empat orang sahaja, bagi kami (Pejuang) hanya membuat persiapan menghadapi PRU15.

“Saya ingat rakyat pun dah meluat kalau asyik nak tukar-tukar ini, dah penat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemukiman Parti Pejuang Negeri Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya di sini hari ini.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa beliau dihubungi Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula kerana sudah mendapat sokongan 119 ahli Parlimen.

Mukhriz berkata Pejuang mengambil ketetapan awal untuk tidak bertanding secara bersendirian pada PRU15 dan sudah memulakan perbincangan bersama beberapa parti termasuk yang berada dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan sebagai persediaan untuk menghadapinya.

“Kita (Pejuang) rasakan kemungkinan tidak akan memasuki (bertanding) PRU15 dalam keadaan berseorangan. Perbincangan dengan parti-parti lain sudah bermula tetapi belum runding, maksudnya kita bincang secara informal, rundingan secara formal akan bermula sedikit masa lagi.

“Perbincangan juga bertujuan nak tengok penglibatan dengan parti lain, baik yang berada dalam gabungan parti pembangkang, parti kerajaan dan parti-parti yang tiada dalam gabungan pembangkang atau kerajaan,” katanya.

Ditanya sama ada perbincangan awal turut membabitkan PKR, Ahli Parlimen Jerlun itu berkata setakat ini Pejuang belum berbincang dengan PKR.

“Kita bincang dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH), (maknanya) satu-satu parti bukan PH itu sendiri. Setakat ini (perbincangan) tidak melibatkan PKR, mungkin masa itu mereka sibuk dengan pemilihan parti,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata sebagai sebuah parti politik berteraskan Melayu, Pejuang akan meletakkan calon di kawasan majoriti pengundi Melayu termasuk di Kelantan.

“Di Kelantan kami telah beri keterbukaan kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pejuang negeri untuk mengenal pasti kerusi yang kita boleh letakkan calon pada PRU15. MPN negeri juga akan mengenal pasti dari segi jumlah ahli, jentera terlatih, calon boleh diterima penduduk dan kriteria-kriteria yang lain,” katanya.- BERNAMA