Home Nasional Polis tahan pemain bola sepak bantu siasatan kes rogol remaja perempuan

Polis tahan pemain bola sepak bantu siasatan kes rogol remaja perempuan

Polis menahan seorang pemain bola sepak liga tempatan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan, di sini Ahad lalu.- Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Polis menahan seorang pemain bola sepak liga tempatan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan, di sini Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan suspek berusia 28 tahun itu, dibuat di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini malam Ahad lalu, selepas mangsa berusia 18 tahun membuat laporan.

“Mengikut laporan yang diterima, mangsa yang juga jurujual kain dan tudung mendakwa pada kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika dia berada di rumah dan hendak membuang sampah, suspek yang dikenalinya telah menolak dan mengheretnya ke katil biliknya.

“Mangsa cuba melawan dan menjerit namun ketika kejadian tiada ahli keluarga mangsa berada di rumah. Mangsa mendakwa telah dirogol tanpa kerelaaannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Cinta & Air Mata’ peringkat Zon Kelantan – Terengganu 2022 di PCB Resort, di sini hari ini.

Muhamad Zaki suspek direman empat hari bermula semalam hingga Khamis.

“Kes akan disiasat mengikut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA