KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus komited membantu graduan yang merupakan peminjam PTPTN menerusi Program Graduate Executive Marketer for Simpan SSPN Plus (GEMS).
Menurut PTPTN, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang terlibat secara langsung untuk menjayakannya.
“Ini sebagai tanda cakna dan prihatin PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara terhadap peminjam PTPTN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) KPT-CAP (Career Advancement Programme) yang merupakan usaha kerajaan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan
mengurangkan pengangguran akibat wabak Covid-19.
Melalui modul latihan yang diberikan, peminjam PTPTN dapat mempraktikkan ilmu keusahawanan sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri, ujarnya.
Menurut PTPTN, program ini ditawarkan kepada peminjam PTPTN yang bergraduat dalam bidang Sastera tahun 2019 dan 2020.
“PTPTN telah mengenalpasti peminjam yang layak sebagai peserta GEMS berdasarkan syarat yang ditetapkan. Peminjam tersebut akan menerima tawaran melalui e-mel mulai 1 Jun 2022.
“Peminjam perlu mengemaskini maklumat diri serta menjalani ujian psikometrik selewat-lewatnya 19 Jun 2022,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, peminjam yang bergraduat dalam bidang Sastera tahun 2019 dan 2020 tetapi tidak menerima tawaran melalui e-mel, boleh membuat semakan kelayakan di https://www.ptptn.gov.my/program-gems/ mulai 1 Jun 2022 sehingga 19 Jun 2022.
Katanya, peserta program akan diberikan latihan komprehensif secara dalam talian oleh pensyarah UMK selama 16 hari sebelum memasarkan produk Simpan SSPN Plus.
Tambahnya, para peserta juga akan diselia oleh seorang mentor yang terdiri daripada Pegawai PTPTN.
Modul latihan akan diberikan kepada para peserta dan setiap peserta yang berjaya akan menerima elaun bulanan untuk tempoh 12 bulan, ujarnya.
Antara kelebihan-kelebihan yang diperolehi oleh peserta program GEMS adalah elaun bulanan untuk tempoh 12 bulan, perlindungan takaful berkelompok percuma (untuk tempoh 12 bulan), berpeluang menerima komisen atas jualan produk yang berjaya, tanpa modal perniagaan dan waktu kerja fleksibel.
Sokongan pemasaran berterusan melalui latihan dan bimbingan, sijil boleh digunakan bagi memohon pengecualian jam kredit (micro credential) untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pasaran luas tanpa sempadan, tidak melibatkan transaksi tunai dan produk Simpan SSPN Plus telah dikenali serta patuh syariah.
Menurut kenyataan itu, PTPTN berharap program GEMS ini dapat memberi ruang dan peluang kepada peminjam PTPTN untuk terus maju, berdaya saing dan mempunyai pendapatan yang baik di kala berdepan dengan kesukaran ekonomi ketika ini.
Katanya, usaha PTPTN ini diharapĀ bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah mampu meningkatkan ilmu literasi kewangan serta kesedaran penabungan dalam kalangan graduan peminjam PTPTN. – MalaysiaGazette