Home Seni Hidup Rugverse bukti kegigihan Amai

Rugverse bukti kegigihan Amai

Shahrul Akmal Zulkafle tekun menyiapkan tempahan rug ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Rug Verse, Alam Damai, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 30 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Percayalah rezeki itu luas dan sesungguhkan ia datang dari Allah.

Ada cara mudah dan ada cara yang susah, yang penting usaha mencari rezeki yang berkat itu penting. Tiada istilah rezeki datang bergolek tanpa sebarang usaha.

Itu pesan Shahrul Akmal Zulkafle, 26, pengasas Rugverse Enterprise (Rugverse).

Menurutnya, kata-kata itu menjadi pegangannya tatkala diuji Allah selepas diberhentikan kerja ketika negara dilanda Covid-19.

Shahrul yang lebih dikenali sebagai Amai mengakui dia takut selepas dibuang kerja kerana bimbang tidak mampu menyara keluarga kecilnya.

“Masa tu la macam-macam terfikir, apa nak jadi dengan keluarga aku kalau tak kerja. Tambahan pula isteri saya yang jadi guru tadika di sebuah pusat asuhan di Bangsar turut menerima notis beku kerja selama tiga bulan.

“Dia hanya menerima RM200 sebulan kerana tadika tersebut perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Tapi saya bertekad tak mahu layan emosi dengan menganggap hidup akan berakhir kerana saya yakin segala masalah ini pasti ada jalan, hidup masih perlu diteruskan, jadi saya cuba buat apa yang saya suka,” kata bekas graduan diploma kejuruteraan elektrikal Politeknik di Merlimau, Melaka ini.

Shahrul Akmal Zulkafle,

Katanya, ketika ‘melayan’ TikTok, dia tertarik melihat pembuatan custom rug yang dikongsi pelayar dari luar negara.

Dek kerana teruja melihat pembuatan custom rug itu, dia berkata-kata dalam hati mengapa tidak dia mencubanya walaupun sedar ia adalah risiko untuk mencuba benda baharu.

Bertitik-tolak dari situ anak muda yang selesa dipanggil Amai memberanikan diri untuk mencuba membuat custom rug.

Beliau yang kini mengusahakan Rugverse berkata, produk rug yang dikeluarkan olehnya berdasarkan permintaan pelanggan dan dihasilkan dengan kerja tangannya.

Amai menzahirkan rasa syukur kerana ketika diberhentikan kerja, kerajaan memberi kebenaran pengeluaran wang caruman melalui i-Sinar.

“Masa tu cuma fikir dapat keluarkan duit untuk modal memulakan perniagaan.

”Saya dan isteri, bulat hati mengeluarkan simpanan daripada i-Sinar, yang digabungkan sebanyak RM4,000 dan daripada jumlah itu, hampir RM2,000 digunakan untuk memulakan perniagaan,” katanya tekun bercerita ketika ditemui di bengkel Rugverse di Alam Damai, Cheras.

Shahrul Akmal menyulam rug yang ditempah pelanggan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di bengkel Rug Verse, Alam Damai, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 30 MEI 2022.

Amai sama sekali tidak menyangka, usaha kecilnya itu menjadi pembuka rezeki buat keluarganya.

Bermula daripada suka-suka, minat itu berkembang menjadi kerjaya baharunya.

“Jualan pertama kepada kawan saya yang tertarik dengan rug yang saya hasilnya selepas berkongsi di Instagram Story.

“Selepas itu, ramai orang mula request rug dan sejak itu saya tidak lagi menoleh kebelakang,” ujarnya.

Isteri amai, Azlinda Boyadi, 26, berkata, ketika mula berjinak-jinak membuat rug, mereka terpaksa mengorbankan bilik tidur utama rumahnya bagi melakukan proses tufting ataupun kerja-kerja menyulam karpet.

Azlinda Boyadi

Ternyata percubaan pertama bukan mudah. Bukan mudah rupanya untuk menghasilkan sehelai rug kerana tidak ada pengalaman.

Kasihan melihat kepayahan suami, Azlinda cuba membantu tetapi alat menyulam – tufting gun rosak pula di tangannya sebanyak dua kali.

Sambil mengeluh, Azlinda berkata, semua pengalaman yang dilaluinya bersama Amai begitu mahal harganya untuk berada pada tahap sekarang.

“Itu belum lagi cabaran menjual rug yang disiapkan kerana pada mulanya Amai tidak tahu nilai produk yang hendak dijual.

“Dia jual dengan harga murah, hanya untung beberapa ringgit sahaja. Bagi menyedapkan hati Amai kata dia seronok buat rug dan sekadar mengisi masa lapang,” tambahnya sambil memberitahu kini Amai dibantu oleh dua orang pekerja, termasuk Azlinda sendiri.

Antara custom rug yang dihasilkan oleh Shahrul Akmal Zulkafle.

Setakat hari ini, lebih 80 keping rug sudah dijual di pasaran.

Ada juga pelanggannya dari Amerika Syarikat dan Singapura.

Jelas Amai, sekeping rug yang dijadikan ambal atau alas kaki dijualnya dari harga RM200, bergantung kepada saiz atas permintaan pelanggan.

Ambal paling mahal yang pernah dibuat beliau adalah bersaiz 120×120 sentimeter yang dijual pada harga antara RM800 ke RM900.

Amai yang menyasarkan sebanyak 30 pelanggan sebulan tidak menyangka usahanya mempromosikan rug di TikTok dan Instagram membantunya jana pendapatan dan kini boleh menyara keluarganya.

Shahrul Akmal Zulkafle, membersihkan rug yang sudah selesai disulam.

“Alhamdulillah sambutan sangat baik.. especially daripada kawan-kawan sendiri”

“Walaupun ada yang tak kenal di Instagram, mereka tetap supportive dan ada yang sampai hantar mesej berminat dengan Rugverse22″ ujar Azlinda yang turut menjual Non-Fungible token (NFT).

Pesan Amai, orang ramai yang berminat mendapatkan produknya dan potongan harga 10 peratus boleh menghubungi melalui Instagram Rugverse22 atau di rugverse.nft. – MalaysiaGazette