Home Ekonomi Teknologi hijau, tenaga diperbaharui tumpuan pelabur Jepun – Azmin

Teknologi hijau, tenaga diperbaharui tumpuan pelabur Jepun – Azmin

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Ekonomi Lestari Teguh dan Makmur di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.Foto MUHD NA'IM, 31 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Industri teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui antara tumpuan utama Malaysia dalam usaha menarik pelabur Jepun meneroka peluang perdagangan dan meningkatkan pelaburan di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, melalui perbincangan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) diharapkan teknologi hijau itu dapat dibangunkan di Malaysia selepas ini.

“Saya melihat dalam perbincangan di Jepun, syarikat-syarikat besar ini tertumpu kepada teknologi-teknologi hijau seperti tenaga diperbaharui.

“Banyak syarikat di Jepun sedang mengadakan perbincangan dengan Petronas untuk memastikan tenaga hijau ini dapat dibangunkan.

“Malah kajian sedang berjalan dan ini satu usaha yang baik untuk Malaysia mencapai matlamat yang telah kita gariskan seawal 2022-2050 untuk mencapai kadar sifar karbon.

“Usaha ini akan kita teruskan dan kita juga telah meminta pihak Jepun untuk meneruskan kerjasama,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, syarikat-syarikat terkemuka di Amerika Syarikat dan Jepun telah memberi komitmen bukan sahaja membawa pelaburan bahkan membina ekosistem dan rantaian bekalan dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

“Saya mengajak pemain-pemain industri tempatan untuk menyambut dan mereka amat gembira kerana peluang hari ini lebih baik dan ini meletakkan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan di rantau ini.

“Kita melihat baru-baru ini Bank Negara telah mengumumkan pertumbuhan ekonomi negara amat memberangsangkan pada suku pertama 2022 kita telah mencatatkan lima peratus.

“Malah ia dijangka terus berkembang pada kadar 5.3 hingga 6.3 peratus pada hujung tahun 2022.

“Miti akan meneruskan usaha dan bekerja kuat, malah hari ini kita meraikan warga MITI dan agensi yang telah memberikan komitmen begitu besar untuk membangunkan semula ekonomi negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette