Home Politik Terima kasih UUM tarik balik larangan upacara mendiang Vinosiny

Terima kasih UUM tarik balik larangan upacara mendiang Vinosiny

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy bercakap kepada media selepas perasmian Briged Wanita MIC Kebangsaan ketika di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy melahirkan penghargaan terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam isu membabitkan acara mendiang S. Vinosiny.

Menurutnya, sebarang usaha untuk menyekat kebebasan penuntut di universiti itu bercakap secara terbuka  atau menghadiri sebarang acara berkaitan dengan kematian Vinosiny sebelum ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya telah bercakap tentang isu ini dari awal lagi malah ramai juga termasuk wanita dalam kalangan MIC menyuarakan rasa kurang senang dan kecewa dengan tindakan UUM beberapa hari lepas yang mengenakan sekatan seperti itu.

“Bagaimanapun saya ingin ucapkan terima kasih kepada UUM kerana telah menarik sekatan itu dan memberikan sedikit nasihat supaya sebarang acara itu diadakan secara berhemah. Ini baru betul.

“Isu kematian adik Vinosiny tidak boleh pandang remeh, ianya juga agak mengejutkan sesiapa sahaja. Pastinya ramai pihak mahu pun penjelasan termasuklah keluarga mangsa serta penuntut.

“Pihak universiti juga perlu memberikan kerjasama dengan berhemah dalam isu ini dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan untuk mengenakan sekatan.

“Wanita MIC amat menghargai komitmen dari pihak UUM pada masa ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohana mengulas kenyataan Pejabat Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UUM pada Jumaat lalu yang memberi peringatan agar pelajar tidak bercakap secara terbuka, menganjurkan atau menghadiri sebarang acara yang berkaitan dengan kematian Vinosiny.

Pihak universiti berkata, tindakan tatatertib akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang melanggar larangan tersebut.

Notis itu dikeluarkan sebelum forum dan acara nyalaan lilin yang dianjurkan oleh pelajar untuk Vinosiny.

Untuk makluman, Vinosiny yang merupakan pelajar perakaunan yang meninggal dunia di bilik asramanya di kampus UUM, Kedah pada 21 Mei lalu.

Mendiang disyaki mengalami renjatan elektrik sehingga maut seperti dakwaan keluarganya kerana terdapat kecederaan pada badannya selepas hasil bedah siasat.

Bapa mangsa telah membuat laporan polis ke atas UUM dan mendakwa kemungkinan kecuaian oleh pentadbir universiti berkenaan.

Dalam pada itu, Mohana berharap isu itu dapat diselesaikan secara berhemah apatah lagi membabitkan isu nyawa.

“Bukan senang bagi pihak mangsa untuk melalui fasa ini, keluarga tersayang, sahabat dan kenalan yang begitu mengenali mendiang akan terasa kehilangan itu dengan perasaan berbaur, jadi perlu tangani kes ini dengan baik,” tegasnya. -MalaysiaGazette