KUALA LUMPUR – Mahkamah Syesen semalam diberitahu remaja kurang upaya (OKU) Bella beberapa kali ditinggalkan sendirian di kondominium di Wangsa Maju ketika pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali dan penghuni lain keluar.
Saksi kelapan pendakwaan Suhana Zam, 40 yang merupakan rakan kepada Siti Bainun sejak 10 tahun lalu berkata, dua kali dia menyedari remaja Sindrom Down itu ditinggalkan keseorangan di rumah ketika kesemua penghuni keluar berlibur.
Menurutnya, pada bulan April 2021, Bella telah ditinggalkan seorang diri apabila Siti Bainun dan penghuni keluar meraikan hari jadi Jane iaitu salah seorang anak angkat pengasas Rumah Bonda itu di rumah kenalan bernama Zuriati.
Saksi: Saya, Haiza, Bainun, Anis Azura, Shiera, Yasmin, Tulus Jiwa, Tulus Baim, Aryan, Maryam. Kami pergi naik dua kenderaan.
Pendakwa: Bagaimana Bella?
Saksi: Bella tidak ikut. Ditinggalkan seorang diri di rumah itu. Kemudian kami pergi ke rumah Zuriati. Saya beritahu Bainun nak pergi ke pejabat di Bangi. Dia kata ok, dia kata nak ke rumah bonda.
Menurut, Suhana dia singgah sebentar di kondominium untuk menghantar makanan kepada Bella selepas diberitahu tidak ada makanan untuk remaja kurang upaya tersebut.
Kali kedua Bella ditinggalkan apabila kesemua penghuni keluar untuk mengambil gambar bersama-sama selepas majlis jamuan hari raya pada 23 Mei 2021.
Menurut Suhana, Siti Bainun tidak mahu membawa Bella kerana pada waktu itu terdapat kecederaan pada anggota remaja tersebut.
Tambahnya, Pengasas Rumah Bonda itu bimbang sekiranya kecederaan tersebut menyebabkan masyarakat salan anggap bahawa beliau telah mendera Bella.
“Masa saya bangun pagi keadaan sudah kecoh sebab sebab Siti Bainun ada tempah studio untuk ambil gambar raya di Ampang pada pukul 11 pagi atau 12 tengah hari. Semua orang pakai baju raya. Saya tanya Bella tidak ikut.
“Lepas itu Bainun ada kata kepada saya, macam mana nak bawa Bella kak, nanti orang kata saya dera dia. Saya ingat Bainun ada cakap begitu kepada saya.
“Saya tak nampak Bainun hantar Bella ke mana-mana. Maknanya Bella ditinggalkan seorang diri di rumah,” kata Suhana yang merupakan Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma peguam.
Beliau telah berkawan dengan Siti Bainun sejak 2009 dan kenal pengasas Rumah Bonda itu ketika bekerja di Menara Dato’ Onn.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung pada 13 Jun depan.-MalaysiaGazette