Home Nasional Cari pekerja asing negara lain, gesa Papsma

Cari pekerja asing negara lain, gesa Papsma

Presiden PAPSMA, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid (tengah) bersama Timbalan Presiden PAPSMA, Datuk Kris Foo Yin Choo (kanan) dan Setiasaha Agung PAPSMA, Dr. N. Sukumaran
Presiden PAPSMA, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid (tengah) bersama Timbalan Presiden PAPSMA, Datuk Kris Foo Yin Choo (kanan) dan Setiasaha Agung PAPSMA, Dr. N. Sukumaran.

KUALA LUMPUR – Setelah pekerja asing Indonesia gagal memasuki negara ini malam tadi, Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) menggesa kerajaan agar mencari negara sumber baharu.

Setiausaha Agungnya, Dr. Sukumaran Nair berkata, pihaknya kesal dengan kegagalan pekerja asing Indonesia itu tiba di negara ini, semalam.

“Papsma tidak mengetahui punca sebenar kelewatan itu apabila kedua-dua negara berusaha keras untuk memenuhi kekosongan pekerjaan sejak fasa endemik bermula.

“Kami menggesa Kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Sumber Manusia mencari di tempat lain untuk pekerja asing dari pelbagai negara untuk memenuhi kekosongan yang menyebabkan orang ramai hilang keyakinan terhadap kerajaan dan keupayaan mereka untuk memenuhi permintaan pekerja asing dari pelbagai negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media melaporkan kumpulan pertama pekerja asing sektor perladangan dari Indonesia dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 malam Selasa.

Ia adalah ketibaan pertama kumpulan pekerja asing dari negara itu, selepas sekatan disebabkan pandemik Covid-19.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono turut mengesahkan penangguhan penerbangan membabitkan 164 pekerja asing sektor perladangan dari Indonesia.

Dalam pada itu, Sukumaran berkata, agen perekrut dari beberapa buah negara telah memberikan persetujuan mereka untuk membekalkan tenaga kerja asing khususnya untuk bidang pembantu rumah kepada Malaysia.

“Agen perekrut Bangladesh dan Nepal telah memberikan persetujuan mereka untuk menghantar sejumlah besar pembantu rumah terlatih mereka ke Malaysia jika tuntutan mereka dipenuhi,” katanya.

Sukumaran berkata, pembantu rumah Bangladesh kini dihantar ke beberapa negara antaranya Arab Saudi, Jordan, Hong Kong, Jepun, dan Korea Selatan. – MalaysiaGazette