KUALA LUMPUR – Kesiapsiagaan Barisan Nasional (BN) yang ditekankan kepada seluruh jentera komponen parti ketika ini bukan gendang perang.
Sebaliknya, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kesiapsiagaan dan gerak kerja itu lebih kepada mengukuhkan jentera komponen dan parti gabungan.
“Kita menyorok apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tadi, ruang utk BN atau BN menjadi teras kepada gabungan parti politik bagi memperolehi majoriti dua pertiga.
“Kestabilan politik amat diperlukan, maka majoriti dua pertiga adalah satu keperluan bagi menentukan sebuah kerajaan yang dibentuk tidak tergugat dan tidak terancam daripada mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN yang mengambil langkah tersendiri.
Sebab itulah kita menyokong Akta Anti Lompat parti ini dibawa di Parlimen dan diluluskan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Pengerusi BN pada Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, Deklarasi BN 2022 yang ditandatangani semua Presiden parti komponen BN adalah tekad parti itu untuk bekerjasama dan bersatu dalam menghadapi PRU15.
Mengenai ucapan Ismail Sabri bahawa beliau tidak akan menangguhkan PRU15 walau sesaat pun, katanya, BN telah membuat kesiapsiagaan di seluruh jentera pilihan rayanya.
“Kesiapsiagaan ini bukan sahaja pada jentera pilihan raya, tetapi pada minda dan cara gerak kerja yang kita lakukan mungkin berbeza dengan PRU sebelum ini.
“Namun, kali ini kita tahu kita memerlukan ramai dan banyak lagi rakan dari parti lain untuk terus mendokong kita.
“Dalam hal ini kita mengambil pendekatan untuk merapatkan barisan dalaman, menyatukan jentera di seluruh peringkat dan kita mengambil lima langkah sebagaimana saya nyatakan tadi,” katanya. – MalaysiaGazette