Home Sukan Malaysia lawan Hong Kong: Polis tingkat kawalan di dalam, luar stadium

Malaysia lawan Hong Kong: Polis tingkat kawalan di dalam, luar stadium

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar. Foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium pada perlawanan persahabatan antarabangsa 2022 bola sepak antara Malaysia dengan Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keadaan keselamatan stadium dengan kapasiti penonton seramai 85,000 orang terjamin selamat, selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Penugasan polis membabitkan penugasan kawalan lalu lintas dan keselamatan akan dilaksanakan bermula jam 5.30 petang ini.

“Selain itu, kita juga akan mengetatkan kawalan keselamatan pada perlawanan akan datang dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 2022 dan Kelayakan AFC Asian China Cup 2023 yang dijadualkan bermula 8 Jun ini sehingga tamat perlawanan kumpulan H yang akan turut berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.

Polis juga akan melakukan pemeriksaan rapi terhadap pengunjung sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium.

Petugas akan memeriksa badan mahupun beg yang dibawa penonton memandangkan mereka tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium.

Antara barang yang dilarang ke dalam stadium malam ini termasuk mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis, pemetik api, objek tajam seperti besi dan kayu, senjata seperti parang, minuman keras, payung serta tongkat, ujar beliau.

Menurutnya, polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas sekiranya terdapat penonton yang melanggar arahan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Polis juga akan memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai yang menuju ke stadium serta yang berada di sekitar lokasi perlawanan sentiasa selamat dan terjamin sepanjang perlawanan itu.

Oleh itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menjamin kelancaran trafik sepanjang perlawanan tersebut malam ini.

“Tolong elak daripada menggunakan jalan-jalan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil jika tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak sebagai langkah menangani kesesakan lalu lintas di lokasi itu.

“Orang ramai juga diminta mematuhi arahan daripada anggota polis bertugas dan pengguna jalan raya tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium.

“Tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang dikesan diletakkan dalam keadaan menghalang lalu lintas,” ujarnya.

Taambahnya, penonton juga dinasihatkan supaya sentiasa memakai pelitup muka di kawasan sesak serta menjaga tatasusila selain tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sepanjang tempoh perlawanan itu. – MalaysiaGazette