Home Akhbar Cina Pendapatan pemandu e-panggilan melonjak selari kenaikan tambang?

Pendapatan pemandu e-panggilan melonjak selari kenaikan tambang?

Kadar tambang perkhidmatan e-panggilan yang meningkat dikatakan telah melonjakkan pendapatan pemandu.

KUALA LUMPUR – Ramai pengguna perkhidmatan e-panggilan telah merasakan peningkatan tambang, tetapi adakah keadaan itu bermakna pendapatan pemandu turut melonjak?

China Press melaporkan, disebabkan kekurangan pemandu selepas aktiviti ekonomi dibuka semula, jumlah perjalanan dan pelanggan seseorang pemandu memang telah meningkat.

Walau bagaimanapun, disebabkan kadar tambang dipengaruhi masa perjalanan, destinasi dan polisi syarikat yang berlainan, maka pendapatan pemandu juga meningkat pada tahap berbeza-beza.

Ada pemandu yang mengakui mencatatkan peningkatan hasil secara berganda, tetapi ada juga yang hanya menerima tambahan pendapatan sebanyak 10 peratus.

Yuan, seorang pemandu Grab sepenuh masa, berkata, purata 20 hingga 30 perjalanan dilakukannya setiap hari, termasuk pada masa puncak dan bukan puncak.

“Selepas menolak komisen 20 peratus oleh syarikat, maka hasilnya adalah kira-kira RM300 hingga RM350 setiap hari. Ini merupakan tambahan 10 peratus berbanding antara RM280 hingga RM320 sebelum ini,” katanya kepada China Press.

Mengulas tentang aduan pengguna bahawa tambang meningkat 100 peratus hingga 200 peratus, Yuan berkata, kenaikan itu tidak diterjemahkan secara langsung kepada pendapatan pemandu.

Jelasnya, syarikat sebelum ini menyediakan insentif khas untuk menggalakkan pemandu mengambil penumpang pada masa puncak, tetapi jumlah insentif telah dikurangkan secara mendadak.

Katanya, tanggungan insentif itu sebaliknya dialihkan kepada pengguna sebagai “caj permintaan” sekali gus menyebabkan pengguna merasai kenaikan tambang dengan banyak.

“Perniagaan pertama saya pada semalam, sebagai contoh, adalah pada pukul 6.30 pagi iaitu masa yang tidak mempunyai banyak permintaan, maka tambangnya ialah RM11 untuk perjalanan enam kilometer.

“Grab menyediakan insentif RM8.60 untuk menggalakkan pemandu bangun awal untuk mengambil pelanggan, maka jumlah hasil dalam perjalanan ini ialah RM17.40 selepas menolak komisen.

“Perniagaan kedua pula berlaku pada pukul 7 pagi iaitu masa puncak untuk perjalanan lapan kilometer. Grab tidak lagi menyediakan insentif masa puncak, tetapi penumpang perlu membayar RM25 termasuk caj permintaan sebanyak RM14. Selepas menolak komisen, pemandu memperoleh RM20,” katanya.

Menurut Yuan, dua perjalanan tadi menunjukkan pendapatan pemandu tidak meningkat mendadak, tetapi syarikat yang menjimatkan bayaran insentif kepada pemandu.

Mengenai kenaikan tambang 300 peratus, Yuan berkata, keadaan itu jarang berlaku melainkan terjadinya hujan lebat dan banjir kilat yang menyebabkan permintaan melonjak secara mendadak semasa kekurangan pemandu.

“Pada bulan ini, saya hanya menerima satu perjalanan melibatkan keadaan ini (harga melonjak dengan banyak),” katanya.

Sementara itu, Yuan berkata, kenaikan tambang secara mendadak pada masa puncak mempunyai kaitan dengan polisi kerajaan.

“Sebelum syarat Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dikuatkuasakan,  Grab mempunyai 300,000 pemandu, tetapi jumlah ini menurun kepada 160,000 pada masa ini.

“Ini bukan satu keadaan yang baik, kerana permintaan untuk e-panggilan semakin meningkat setiap hari,” katanya.

Dalam kes berlainan, seorang pemandu AirAsia Ride bernama Lee memberitahu, dia mampu memperoleh pendapatan RM300 sehari, malahan mencecah RM600 pada hari-hari tertentu.
Katanya, sebelum April, pendapatannya hanyalah antara RM200 hingga RM300 sehari, tetapi dengan orang ramai rancak berulang alik ke lapangan terbang dan semakin ramai orang perlu bertugas di pejabat, jumlah perjalanan e-panggilan turut meningkat.
Ujarnya, tambang AirAsia Ride pada masa puncak telah meningkat daripada RM5 untuk dua kilometer kepada RM8 untuk perjalanan sama.
Mengenai aduan kenaikan harga mendadak membabitkan satu jenama, Lee berkata, orang ramai perlu menggunakan lebih daripada satu perkhidmatan e-panggilan untuk mengelakkan keadaan itu. – MalaysiaGazette