KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Delima hari ini menggesa Kementerian Wilayah PersekutuanĀ mengambil alih semula kawasan persekitaran dan tanah Kolam Takungan Tebatan Banjir Delima.
Tindakan itu perlu dilakukan segera demi keselamatan rakyat setempat yang terlibat dengan bencana banjir Disember lepas akibat pembangunan bercampur-campur di kawasan Kolam Takungan Banjir Delima, Nanyang, dan Taman Wahyu yang telah diluluskan penjualannya tujuh tahun lalu.
Kolam-kolam itu adalah antara enam lokasi tadahan banjir di sekitar Kuala Lumpur.
Namun menurut Laporan Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 yag dibentangkan Disember tahun lalu, dua kolam terbabit didakwa telah diubah statusnya untuk projek pembangunan pada Januari 2018.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Delima, Mohd Rodzi Tajudin yang mewakili penduduk membuat tuntutan dan cadangan itu kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mahadhir Sulaiman, yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.
Menurut Rodzi, asas kepada memorandum itu dibuat demi mengekalkan keharmonian kehidupan penduduk Kampung Delima berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), yang menyatakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai peranan memastikan masyarakat setempat berada dalam keadaan kondusif.
Jelas beliau, memorandum ini adalah susulan daripada memorandum yang pernah dihantar kepada bekas Menteri Wilayah, Datuk SerĀ Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tambah beliau, tindakan menyerahkan memorandum itu dibuat kerana penambahan dalam tuntutan penduduk setempat yang masih belum diselesaikan sehingga kini.
Walaupun kawasan itu terlibat dengan projek-projek mega segi tiga emas dan pembangunan semakin meningkat di sekitarnya, Kampung Delima seolah-olah dipinggirkan daripada arus kemajuan.
“Kita nak minta Menteri Wilayah Persekutuan melihat semula segala pembangunan yang berlaku..”
“Kampung Delima ni terlibat dengan MRT 2, pembesaran jalan, kolam takungan banjir Project Smart dan sekarang ini pembangunan projek bercampur di sekitar kawasan kolam takungan itu” ujarnya ketika ditemui.
Tanah sekitar kawasan takungan banjir itu dahulunya dimiliki oleh 38 keluarga yang dipindahkan pada tahun 2005 setelah tanah itu diambil oleh kerajaan melalui Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) yang menjanjikan kawasan riadah dan kemudahan bersosial seperti yang dikatakan dalam rundingan.
Namun kesudahannya, tanah itu diambil untuk pembangunan bercampur dan penduduk berasa tertipu daripada kerana asbab utama pengambilalihan tanah itu sudah tersasar daripada tujuan asal.
“Tanah tersebut dulu asalnya dimiliki oleh Jabatan Pengairan Selangor (JPS) untuk kolam takungan Projek Smart Kuala Lumpur 2020. Kawasan itu adalah kawasan hijau dan jelas sekali tidak boleh diganggu-gugat.
“Kita terpaksa menghantar memorandum ini sebagai peringatan untuk kerajaan dan Menteri Wilayah Persekutuan untuk fokus kembali kepada pelan asal 2020.
“Perkara itu juga dibangkitkan oleh pembangkang, tanah tersebut adalah tanah kolam takungan dan tidak harus dijual kepada pemaju untuk pembangunan” tambah Rodzi lagi.
Projek itu yang pada mulanya diambil PTGWPKL dan kini bertukar tangan kepada sebuah syarikat pemaju perumahan swasta, LakeCity, yang menguasai kawasan sekeliling kolam takungan itu.
Kolam takungan banjir yang sepatutnya diselenggara oleh JPSWP telah diambil alih sebahagiannya oleh Lake City KL North, yang mana isipadu ruangan takungan air kini menjadi cetek.
Kolam itu tidak lagi diselenggara dengan berkala oleh pemaju, menyebabkan limpahan air banjir susulan hujan lebat sering berlaku.
Penduduk yang gusar akan bencana banjir, meminta kerajaan berusaha mengambil semula kawasan tersebut bagi mendalamkan tahap isipadu yang membenarkan air ditakung dalam skala besar. – MalaysiaGazette