GEORGE TOWN – “Saya tidak sangka kisah ini tular kerana terus menyambung kerja harian seperti biasa selepas menumpangkan graduan berkenaan,” kata Ashri Haya.
Ashri merupakan kontraktor perkhidmatan pencucian yang tular di media sosial susulan tindakannya menumpangkan graduan terlewat ke Upacara Konvokesyen ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM) yang terperangkap dalam kesesakan teruk di atas Jambatan Pulau Pinang pada 24 Mei lalu.
Jelasnya, dia tidak menyangka bantuan kecil itu akan membawa makna cukup besar kepada ramai pihak.
“Ketika kejadian tempoh hari, saya dalam perjalanan ke tempat kerja di USM sebelum melihat graduan berkenaan seperti terdesak mendapatkan pertolongan kerana tidak henti-henti menahan penunggang motosikal.
“Saya nampak jubah yang dipegangnya sama seperti jubah konvokesyen USM dan tanpa berfikir panjang terus menumpangkannya kerana simpati selain faham keadaannya yang sedang panik.
“Sehingga keesokan hari, rakan di tempat kerja saya tunjukkan berita mengenai kisah itu yang mendapat liputan meluas media,” katanya, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ashri dijemput khas ke Dewan Tuanku Syed Putra pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM serta berkesempatan bertemu dengan pengurusan tertinggi universiti itu selain menerima penghargaan daripada pihak berkenaan.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, universiti itu menghargai jasa baik Ashri dalam membantu graduannya dan menyifatkan nilai murni itu perlu ada dalam setiap individu.
Katanya, walaupun pertolongan kecil namun kesanggupan Ashri menghulur bantuan di saat insan lain sangat memerlukan perlu dijadikan contoh oleh semua pihak.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan Graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Sains Malaysia (USM) R. Kevin nekad menumpang motosikal pengguna jalan raya bagi menghadiri Upacara Konvokesyen ke-59 USM susulan terperangkap dalam kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang, di sini.
Foto Kevin memegang jubah berdiri di atas jambatan berkenaan sambil mencuba nasib menahan penunggang motosikal yang menghala masuk bahagian pulau mendapat perhatian warga net.
Pihak pengurusan universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen Ke-59 USM menangguhkan upacara sidang kelima berkenaan selama 30 minit berikutan kesesakan itu. – MalaysiaGazette