KUALA LUMPUR – Seramai 1,720,411 (48.4%) kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 1,171,888 (33.0%) telah melengkapkan dua dos.
Dianggarkan 548,523 kanak-kanak akan melengkapkan dos dua selewat-lewatnya 30 Ogos 2022, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Pemberian dos PICKids bermula 3 Februari lalu dan berakhir semalam.
Noor Azmi berkata, bermula 1 Jun 2022 sehingga 31 Januari 2023, PICK hanya menawarkan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak yang baru berusia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022 melalui Klinik Kesihatan dan klinik swasta yang masih beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ibu bapa yang berhasrat untuk memberi vaksinasi kepada anak dinasihatkan mendaftar dan membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
Selain itu, ibu bapa juga boleh membuat janji temu secara terus di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia. – MalaysiaGazette