KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menjangkakan pungutan zakat mencecah RM40 juta di bawah Skim Potongan Zakat Bulanan (SKIM PZB) tahun ini.
Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Hakim Amir Osman menjangkakan seramai 5,000 pembayar zakat baharu dan yang akan menambah jumlah potongan bulanan sedia ada.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen Skim PZB 2022 bermula hari ini sehingga 31 Disember.
Jelas beliau, kempen yang akan berlangsung selama enam bulan ini bertujuan menarik lebih ramai kakitangan awam dan swasta khususnya di Wilayah Persekutuan (WP) untuk menunaikan zakat pendapatan secara bulanan melalui potongan gaji.
Katanya lagi, kempen yang bertemakan ‘Zakat Tanda Syukur’ ini juga merupakan galakan kepada semua pembayar sedia ada untuk mengekalkan dan menambah pembayaran zakat di PPZ-MAIWP.
“Diharapkan kempen ini dapat menarik lebih ramai pembayar untuk mula atau menambah potongan zakat bulanan mereka sebagai tanda syukur atas rezeki yang dikurniakan sekaligus dapat meningkatkan lagi kutipan zakat untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Wisma PPZ.
Tambah Abdul Hakim, skim berkenaan juga memberi pelindungan Skim Kafalah Muzakki atau lebih dikenali sebagai khairat kematian berjumlah RM3,000 kepada pembayarnya.
“Sekiranya berlaku kematian atas pembayar, waris boleh boleh menuntut wang tunai sebanyak RM3,000 bagi mengurangkan beban,” katanya mengulas lebih lanjut.
Menurut beliau, dalam masa yang sama skim ini akan membantu para majikan mendapatkan wakalah atau pengembalian semula wang zakat untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan yang kurang berkemampuan.
Tambahnya lagi, para pembayar selain itu berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik antaranya Pakej Ziarah Al-Aqsa, motosikal, televisyen pintar (smart tv), telekung ekseklusif, skuter elektrik, tablet, jam pintar (smart watch) serta e-baucer makanan dan barangan.
“Sama seperti tahun-tahun lalu sebelum ini, PPZ-MAIWP menawarkan pelbagai hadiak menarik sebagai galakan untuk menarik lebih ramai masyarakat khususnya kakitanvan swasta dan kerajaan mula dan menambah potongan zakat mereka,” katanya lagi.
Abdul Hakim berkata, pendaftaran untuk skim ini boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web ptg.zakat.com.my atau mengisi borang yang boleh didapati dari kaunter PPZ-MAIWP Wilayah Persekutuan (WP), Putrajaya atau daripada majikan masing-masing.
Sebagai rekod, kempen PZB tahun lalu berjaya memungut RM33.67 juta sebanyak berbanding RM15.11 juta pada tahun sebelumnya.
Manakala, pembayar di bawah skim berkenaan tahun lalu adalah 4,214 iaitu berkurang 10 peratus berbanding 2020. -MalaysiaGazette