KUALA LUMPUR – Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu lebih banyak menyerang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dan bukan hanya bertahan.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, menjadi satu masalah apabila BN bersifat bertahan dan hanya membiarkan segala tohmahan dan persepsi rekaan terhadap parti itu sampai kepada masyarakat.
Mohamad berkata, BN tidah seharusnya berpeluk tubuh dan membiarkan sahaja parti itu karam dalam limpahan serangan bertalu-talu, dari pelbagai sudut oleh PH dan PN.
“Saya perhatikan dalam banyak keadaan, kita gagal memberikan jawapan dan bidasan. Kalaupun ada, ia lebih bersifat retorik politik dan tidak berobjektif.
“Jika cubaan menjawab dan membidas ini tidak dilakukan secara strategik dan terancang, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Kita ibarat tikus membaiki labu.
“Kita mesti mula untuk lebih banyak menyerang dan ‘offensive’. Bukannya menunggu dan ‘defensive’,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Barisan Nasional (BN) sempena ulangtahun ke-48 parti itu hari ini.
Tegasnya, pendekatan defensif’ BN selama ini seolah-olah menggambarkan parti itu lemah dan salah.
“Saya kadang-kadang berasa sangat kesal, atas sikap berdiam diri kita. Jentera parti-parti komponen nampak tidak berupaya menangkis tohmahan keji lawan kita, dengan radikal dan berkesan.
“Bukannya kita ini parti yang tidak ada sumber dan kekuatan. Kita ada pelbagai sumber dan kelebihan. Jadi gunakanlah..!!
“Pendekatan tunggu dan lihat, dan menjawab hanya apabila diserang ini, mesti segera berakhir. Kita mesti aktif, proaktif dan giat membongkar betapa gagalnya PH dan PN selama ini,” kata Timbalan Presiden UMNO itu.
Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden MCA Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC Datuk T Murugiah.
Sementara itu Mohamad menegaskan, BN akan diukur oleh rakyat melalui idea yang akan ditawarkan kepada masyarakat.
Tegasnya, parti tanpa idea merupakan parti yang mati hingga menyebabkan rakyat tidak yakin kepada BN.
“Tiada siapa yang akan yakin dengan BN, jika ia gagal mengemukakan idea yang bernas untuk Malaysia.
“Ingat, kestabilan politik sahaja tanpa idea bagaimana mengurus negara, tidak akan mencukupi.
“Sekadar kestabilan tetapi kehidupan menjadi sukar, bukan cara terbaik mengurus negara. Sekadar kestabilan, tetapi segala indeks keyakinan rakyat merudum, adalah formula yang akan memundurkan bangsa,” kata Mohamad.
Serentak itu Mohamad menyarankan supaya BN diperkenalkan semula kepada masyarakat dengan tawaran dan penampilan baharu.
Katanya, BN harus mengubah persepsi dan dikaitkan dengan ‘gila kuasa, korup, salah guna kuasa dan pelbagai konotasi negatif’.
Sebaliknya, BN mesti disinonimkan sebagai sebuah pemikiran kesepakatan, dengan budaya dan pendekatan politik yang progresif.-MalaysiaGazette
22 bulan ph merintah pun lebih baik dari 60 tahun umno merintah. 60 tahun umno merintah apa yang rakyat dapat . Hutang satu trilion . Gst 1mfb dan sistem kliptokrasi. 22 bulan ph merintah apa rakyat dapat. Yang paling utama dapat tangkap pencuri negara . Dapat kutip kembali harta dicuri . Mansuh gst . Refomasi undang2 belum selesai kena tipu olih parti bersatu yang masuk ph membawa niat jahat yang tak disedari oleh ph . InsyaAllah pru15 rakyat akan ulangi lagi pilih ph harap bukan khemah besar yang ada didalamnya virus toksid macam dulu. Apa guna khemah besar kalau hasilnya kecil .