TIGA puluh enam tahun telah berlalu, kini Top Gun: Maverick kembali mengegarkan
panggung wayang dengan penuh bergaya. Tom Cruise masih lagi menjadi nadi kepada
cerita ini dan seperti biasa kelihatan muda dan segar. Jika dahulu dia hanya bergelar
leftenan, kini beliau kembali dengan pangkat kapten. Kapten Pete "Maverick" Mitchell berkhidmat sebagai juruterbang ujian Tentera Laut A.S. dan sentiasa mengelak untuk kenaikan pangkat agar dirinya sentiasa boleh terbang dengan memandu jet pejuang.
Kisah ini bermula dengan Maverick bertugas sebagai seorang pemandu uji bagi
pesawat supersonic dibawah program ketenteraan Scramjet "Darkstar". Tetapi program tersebut telah mendapat tentangan oleh seorang pegawai tinggi tentera bernama
Laksamana Muda Chester "Hammer" Cain. Laksamana Cain mahu menutup program tersebut dan mahu menggantikanya dengan projek dron yang mana beliau berpendapat pada masa hadapan jet pejuang akan diterbangkan tanpa pemandu.
Justeru itu Maverick tanpa membuang masa terus membuat keputusan sendiri dengan
memutuskan untuk membawa prototaip jet pejuang supersonik itu ke ruang udara
dengan kelajuan Mach 10. Dalam suasana yang mendebarkan itu Maverick telah
berjaya mencapai kelajuan Mach 10 tetapi memutuskan untuk pergi lebih jauh ke
kelajuan hipersonik tinggi dan mengakibatkan kemusnahan prototaip jet pejuang
tersebut.
Disebabkan kejadian itu Laksamana Muda Cain mengambil keputusan untuk
menghukum Maverick, tetapi sebelum dia sempat berbuat demikian rakan dan bekas
pesaingnya, Laksamana Tom "Iceman" Kazansky, komander Armada Pasifik A.S. telah mengarahkan Maverick untuk pergi ke North Island untuk menjadi tenaga pengajar di TOPGUN.
Di TOPGUN Maverick telah diperintahkan untuk melatih sekumpulan elit juruterbang
Super Hornet F/A-18E/F yang diselia oleh Laksamana Madya Beau "Cyclone" Simpson dan Laksamana Muda Solomon "Warlock" Bates. Mereka mempunyai misi penting iaitu untuk mengebom kemudahan rektor uranium yang terletak dikawasan lembah pergunungan yang sukar untuk ditembusi oleh mana-mana pasukan. Kawasan itu juga turut dilindungi oleh senjata peluru berpandu permukaan-ke-udara (SAM) dan
mempunyai pangkalan udara dengan pesawat pejuang Su-57 generasi kelima .
Disinilah peranan Maverick iaitu melatih sekumpulan pasukan juruterbang agar boleh
meletupkan kemudahan rektor nukear dari terus beroperasi. Misi ini sangat sukar
kerana jet perlu diterbangkan dalam kelajuan yang tinggi di bawah altitud yang rendah
bagi mengelak dikesan radar musuh. Disamping itu juga mereka perlu mengelak dari
bertembung dengan pesawat musuh kerana hal tersebut boleh menggagalkan usaha
untuk memusnahkan rektor nuklear.
Tugas Maverick menjadi sukar kerana hubungan di antara salah seorang pelatihnya
iaitu Bradley "Rooster" Bradshaw yang sering tegang kerana Maverick sentiasa rasa bersalah diatas kematian bapa Rooster yang juga merupakan rakan baiknya. Hal
kematian bapa Rooster turut diketahui oleh temanya yang lain dan kemudian berlakulah
babak sindir-menyindir yang mengakibatkan suasana menjadi huru hara seketika.
Sungguhpun demikian mereka tetap fokus kepada matlamat utama latihan mereka iaitu
menerbangkan jet pejuang dalam masa yang telah ditetapkan dan memusnahkan
kemudahan rektor nuklear.
Kisah TOPGUN ini penuh dengan aksi mendebarkan yang membabitkan jet pejuang
diterbangkan dengan pelbagai aksi akrobatik seperti berpusing-pusing diudara, aksi
pesawat memecut dengan laju diangkasa dan kemudian menjunam semula ke
permukaan bumi. Syot kameranya juga sangat hebat dengan memaparkan keadaan
kejar mengejar dan menembak serta keadaan didalam kokpit juruterbang dan penonton
sendiri boleh berasa seolah-olah seperti turut terbang bersama.
Filem ini juga turut diadun dengan aksi romantik di antara Maverick dengan teman
wanitanya yang dahulu iaitu Penny Benjamin; kini merupakan seorang pemilik kelab
malam dan mempunyai seorang cahaya mata. Aksi romantik ini mengimbau kembali
kenangan mereka berdua pada suatu ketika waktu dahulu dan babak ini jelas dilihat
ketika mereka berdua menunggang motosikal. Muzik latar filem ini juga sungguh
mengasyikkan dan bernuansa era 80an.
Justeru itu pada mereka yang membesar pada tahun 80an, filem ini akan mengamit
kembali nostalgia lama kerana elemen-elemen tersebut masih boleh dilihat dalam filem
ini. Juga bagi mereaka yang gemar kepada filem berunsur ketenteraan, TOPGUN pasti
tidak mengecewakan.
Rasfan Abu Bakar
Dekan Fakulti Animasi & Multimedia, Akademi Seni Budaya &
Warisan Kebangsaan (ASWARA)