KUALA LUMPUR – Kenanga Research yang juga cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank, mengekalkan unjuran bahawa aktiviti pembuatan Malaysia terus berada di landasan pemulihan ketika negara beralih ke fasa endemik biarpun prestasinya agak statik pada Mei, 2022.
Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia pada Mei susut kepada 50.1 berbanding 51.6 pada April, sekali gus menjadi paras terendah dalam tempoh dua bulan.
“Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan kami masih terdedah kepada beberapa risiko penurunan, terutamanya susulan dasar China yang ketat dalam membendung COVID-19 dan krisis Rusia-Ukraine yang menjejaskan rantaian bekalan global, menaikkan inflasi serta harga komodii.
“Berikutan itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 pada 5.0 hingga 5.5 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu mengulas PMI bagi Mei 2022, MIDF Research yang juga cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank berkata aktiviti sektor pembuatan tersebut secara amnya tidak banyak berubah daripada bulan sebelumnya apabila angkanya susut kepada 50.1, kebanyakannya disebabkan oleh penurunan pesanan baharu.
Berikutan keadaan itu, mereka mengurangkan jumlah pengeluaran bagi bulan kelima berturut-turut.
Pada masa sama, MIDF berkata penggajian sektor pembuatan juga menyederhana di tengah-tengah cabaran berterusan untuk menggaji pekerja asing.
Ia turut menekankan bahawa gangguan rantaian bekalan turut menjejaskan firma pengeluar barangan dengan sekatan pergerakan di China memburukkan lagi kekurangan bahan mentah serta kapasiti pengangkutan yang terhad.
Dari sudut positif, MIDF berkata pengeluar menjangkakan prospek bertambah baik dengan kelonggaran sekatan dan sebarang pengakhiran pandemik akan mengundang peningkatan permintaan serta persekitaran bekalan yang positif.
“Bagaimanapun, kenaikan kos dan kekangan bekalan akan terus menjejaskan perniagaan tempatan serta berpotensi melonjakkan harga,” katanya. – MalaysiaGazette