KUALA LUMPUR – Harga dedak ayam didakwa naik lagi sebanyak RM3 lagi semalam menyaksikan trend menaik berlarutan sejak tahun lalu.
Pemain industri ayam memberitahu, dengan kenaikan baharu itu, harga dedak ayam dijual RM80 seguni untuk 50 kilogram pada tahun 2020, naik lagi kepada RM90 hingga RM98 dan hari ini menjadi RM140 hingga RM150 lebih bergantung kepada jenis.
Malah dedak yang berkualiti baik sudah lebih RM200.
“Harga dedak semakin menaik ya, tidak ada tanda-tanda nak turun selagi dunia berdepan dengan masalah bekalan komoditi akibat perang Rusia-Ukraine dan isu-isu ekonomi.
“Yang turun hanya harga ayam di Malaysia sahaja,” katanya.
Menurutnya, dengan kenaikan terbaharu ini, kenaikan harga dedakk melebihi RM200.
Pemain industri ini enggan mengulas lanjut kenaikan harga dedak yang sudah pastinya menjejaskan para penternak dan industri ayam di negara ini.
“Kami tak mahu komen apa-apa,” ujarnya ringkas kerana mengakui sudah letih dan kecewa untuk ‘berdepan’ dengan situasi semasa kerana pada akhirnya penternak-penternak ayam pula dituduh sebagai kartel.
Katanya: “Lebih baik diam, kalau kami cerita kesusahan kami pun apa dapat, dituduh pulak sebagai kartel.
Namun, beliau berkata, para penternak masih tetap berpandangan harga siling RM8.90 bagi seekor ayam tidak sesuai dikekalkan di bandar-bandar besar berbanding di kawasan pedalaman.
Ini kerana, dalam kos menternak semakin meningkat tetapi harga pula terikat pada kadar yang ditetapkan.
“Harga seekor anak ayam yang berusia satu hari pun dibeli pada harga RM2.30, dedak naik, kos buruh naik, lain-lain kos juga meningkat tetapi harga tak boleh naik. Kami semakin hilang kata-kata dan cuba bertahan selagi mampu.
“Sedih memang sedih sebab tekanan dalam industri cukup sukar sekarang. Tapi seperti yang saya kata tadi, kami tak mahu lagi membuat kenyataan, lebih baik dia.
”Lagipun kebanyakan kami sedang menunggu masa untuk disiasat oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC),” ujarnya. – MalaysiaGazette