Home Sukan Impian Kuching City ke Liga Super makin bernyala – Irfan

Impian Kuching City ke Liga Super makin bernyala – Irfan

Irfan Bakti

KUALA LUMPUR – Kemenangan besar 5-1 ke atas Selangor 2 kelmarin meletakkan Kuching City FC dalam posisi terbaik untuk terus mencabar slot ke Liga Super 2023.

Ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti sangat berpuas hati dengan kejayaan besar itu namun dalam masa sama mengakui masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki.

Menurutnya, aspek pengalaman ternyata membantu Kuching bagi mendapatkan kemenangan tersebut biarpun permulaan yang sedikit perlahan di separuh masa pertama.

“Lawan berjaya berikan tekanan yang tinggi di babak pertama tetapi dengan pengalaman yang ada pemain selain tiga import, kami berjaya mengambil kesempatan.

“Di separuh masa pertama, kami seolah-olah tidak bermain bola langsung sebenarnya tetapi berubah di babak kedua.

“Biarpun lawan berjaya merapatkan jurang semasa kedudukan 2-1, saya gembira kerana kami berjaya memperoleh jaringan tambahan untuk menang 5-1.

“Kemenangan ini sekurang-kurangnya dapat memulihkan semula semangat kami selepas pernah tewas 1-5 kepada Terengganu FC II, ” katanya.

Abu Kamara menjadi watak penting di sebalik kejayaan Kuching City menerusi jaringan hatrik pada minit 34, 45 dan 82 selain Shafizi Iqmal,minit 78 serta Yuki Tanigawa, minit 90 manakala gol tunggal Selangor 2 dijaringkan George Attram pada minit 72.

Kemenangan kelima Kuching City dalam pentas Liga Premier meletakkan mereka kini naik ke tangga keempat di belakang Kelantan FC, JDT II dan TFC II namun merampas slot ke Liga Super dari Kelantan United FC.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor 2, Rusdi Suparman tidak menafikan pemain-pemainnya seperti sedikit kepenatan kesan perlawanan berdepan JDT II pada 27 Mei lalu.

Beliau mengharapkan pemain-pemain mudanya mampu bangkit dari kesilapan selain melihatkan kekalahan itu sebagai satu proses pembelajaran.

“Sememangnya satu kerugian kami tidak ambil kesempatan bermain di tempat sendiri namun saya harap mereka boleh belajar dari kesilapan.

“Mereka bermain semula dalam jarak yang singkat selepas pamerkan kesungguhan semasa berdepan JDT tetapi mereka tidak dapat imbangi apabila berdepan Kuching City.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa di sebalik keputusan ini kerana dari penyerang ke penjaga gol, semuanya perlu bersama-sama memikul kekalahan,” katanya. – MalaysiaGazette