KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Ogos depan bagi memutuskan keputusan kes saman Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Khairuddin turut menyaman enam individu lagi berhubung penahanan dan pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Majistret pada 2015 atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Hakim Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon menetapkan keputusan itu dilakukan atas talian selepas pembelaan menutup kes hari ini.
Chew Soon juga menetapkan 13 Julai ini bagi memfailkan hujahan bertulis dan dijawab pada 27 Julai.
Mahkamah selesai mendengar keterangan dua saksi plaintif dan tiga saksi defendan manakala saksi terakhir ialah Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Masri Mohd. Daud.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes saman Khairuddin berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Selain Mohamed Apandi, Khalid dan Masri, bekas Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Awang Armadajaya Awang Mahmud, Asisten Suprintendan Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Suprintendan C. Muniandy, Suprintendan Habibi Majinji dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan-defendan.
Khairuddin mendakwa tindakan semua pihak-pihak yang dinamakan sebagai defendan telah menahan dan mendakwanya di mahkamah dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Bekas pemimpin UMNO itu juga mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.
Khairuddin menuntut ganti rugi am berjumlah RM5.23 juta, ganti rugi teladan sebanyak RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM1 juta selain ganti rugi teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya. – MalaysiaGazette