Home Utama Padah halang tugas polis, lima sekeluarga didenda RM12,500

Padah halang tugas polis, lima sekeluarga didenda RM12,500

Lima sekeluarga sekeluarga didenda RM12,500 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku salah menghalang tugas penjawat awam termasuk mengeluarkan perkataan kesat dan mengugut polis Mac lalu.

MELAKA – Lima sekeluarga didenda RM12,500 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah menghalang tugas penjawat awam termasuk mengeluarkan perkataan kesat dan mengugut polis pada Mac lalu.

Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap kesemua tertuduh, Ahmad Hafizi Zakaria, 25, Zakaria Kadir K.V Raja, 60, Putrawirawan Irwan, 40, Ahmad Hafizan Zakaria, 19 dan Nor Ain Zakaria, 36, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan seorang lagi tertuduh, remaja lelaki berusia 15 tahun yang mengaku bersalah diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 4 Julai untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang mempunyai hubungan ayah, anak, menantu dan cucu secara bersama didapati dengan sengaja menghalang menghalang tugas empat anggota polis di kawasan kompaun Balai Polis Batu Berendam.

Kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu didakwa dilakukan kira-kira jam 1 pagi 26 Mac lalu.

Sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga anggota polis cuba meleraikan kekecohan yang dicetuskan sekumpulan individu yang berada dalam kompaun Balai Polis Batu Berendam kira-kira jam 1 pagi 26 Mac lalu.

Salah seorang daripada kumpulan berkenaan bagaimanapun telah mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan menyebabkan polis terpaksa manahan semua tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan dilakukan tertuduh terhadap penjawat awam adalah serius.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan secara berasingan bagaimanapun meminta hukuman ringan dengan alasan tidak bekerja, menghidap pelbagai penyakit kronik dan selain perlu menyara empat anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman dengan RM2,500 kepada setiap tertuduh atau empat bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette