Home Politik PRU-15: DAP dakwa pendirian PM tak konsisten

PRU-15: DAP dakwa pendirian PM tak konsisten

Anthony Loke DAP
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – DAP menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang didakwa tidak konsisten dalam pendiriannya berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, dalam satu wawancara dengan media Jepun, Nikkei yang disiarkan Isnin lalu, beliau menyatakan pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana masalah inflasi dan isu kos sara hidup rakyat perlu ditangani.

Namun dalam masa 48 jam sahaja, perdana menteri telah menukar nada semasa berucap di Konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam dengan mengatakan beliau tidak akan menunggu satu saat lebih untuk membubarkan Parlimen sekiranya BN sudah bersedia.

”Kenyataan dan mesej yang flip-flop hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sedangkan, katanya, Ismail Sabri perlu lebih tegas dan konsisten dalam pendiriannya sebagai seorang perdana menteri dan bertanggungjawab dalam sebarang kenyataannya.

Loke berkata, DAP tidak pernah bimbang untuk menghadapi pilihan raya sekiranya Parlimen dibubarkan malah DAP bersama rakan-rakan Pakatan Harapan bersedia untuk masuk gelanggang dan berkempen.

Namun, keputusan untuk menasihati Yang di- Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah budi bicara perdana menteri dan keputusan yang begitu penting ini tidak seharusnya dipengaruhi oleh pihak yang tidak berkaitan yang hanya mementingkan survival politik mereka.

”Perdana Menteri perlu memberi mesej politik yang lebih jelas kepada rakyat dan dunia luar. Sekiranya beliau benar-benar ingin menangani isu inflasi daripada memanggil pilihan raya dalam tempoh terdekat, maka beliau sebagai perdana menteri perlu mencari konsensus merentasi parti supaya seluruh fokus nasional menjurus kepada agenda membantu rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Belum sesuai buat PRU-15 dalam keadaan inflasi, kos sara hidup tinggi – PM