KUALA LUMPUR – Kongres Nasional PKR perlu ditunda sehingga siasatan dan audit forensik terhadap keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini selesai dilakukan.
Bekas pembantu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa perkara itu berkata, keputusan rasmi pemilihan perlu disahkan sebelum kongres boleh dilaksanakan.
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menganggap pengakuan Ketua Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr. Zaliha Mustafa bahawa gesaannya agar audit forensik dilakukan sebagai “adil” bermakna audit akan dijalankan segera.
“Saya gesa segala siasatan dan audit forensik terhadap keputusan Pemilihan Parti 2022 ini disegerakan supaya keputusan rasmi dapat disahkan sebelum kongres nasional.
“Jika tidak, saya merasakan adalah lebih adil untuk Kongres Nasional ditunda sehingga perwakilan dapat didirikan oleh mereka yang sah. Ruang juga harus diberikan untuk tindakan susulan selepas audit forensik dan siasatan telah lengkap.
“Jika benar ada berlaku manipulasi dan penipuan, parti harus berlaku adil dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka-mereka yang terbabit selain membetulkan keputusan mengikut suara sebenar para anggota di seluruh negara,” katanya.
Tambahnya, PKR tidak boleh mengamalkan proses yang dilihat tidak telus serta terdedah kepada manipulasi dan penipuan kerana parti itu sendiri memperjuangkan ketelusan dalam segala aspek pentadbiran.
Farhash berkata, jika siasatan tidak menemukan sebarang salah laku maka semua pihak perlu berlapang dada dan menerima hasil keputusan siasatan forensik.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Zaliha atas kenyataan bahawa ratusan tuntutan untuk audit forensik dilakukan ke atas seluruh mekanisme dan proses pengundian dan kiraan undi pada pemilihan PKR adalah adil.
“Seperti dilaporkan, hampir 900 aduan ke atas sistem Pemilihan Parti diterima JPP dan keputusan yang diumumkan pada 29 Mei lalu berhadapan bantahan dari majoriti besar dari 222 cabang Parti Keadilan Rakyat di seluruh negara.
“Nyata, saya tidak keseorangan dalam membangkitkan keraguan yang amat tinggi terhadap keputusan yang kami anggap tidak munasabah.
“Telah timbul berbagai persoalan mengenai sistem, mekanisme, kaedah dan pembabitan individu-individu berkepentingan dalam proses pemilihan ini, maka tidak hairanlah jika timbul berbagai pertikaian mengenai keputusan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, keputusan rasmi Pemilihan PKR 2022 akan diumumkan pada 25 dan 26 Jun ketika berlangsungnya Kongres Nasional PKR 2022.
Dalam persaingan jawatan ketua cabang PKR Gombak, Farhash tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beberapa pemimpin kanan tewas dalam saingan merebut jawatan Naib Presiden PKR antaranya termasuk Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Samsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil Mohamed Fadzil; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid serta Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.-MalaysiaGazette