KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan dirinya sentiasa bersedia untuk berkhidmat sekiranya dilantik menjadi pengganti kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
“Saya rasa di pihak Bersatu mana-mana pimpinan yang dilantik kita akan sokong dan kita akan bantu kepimpinan tersebut. Kita sentiasa bersedia untuk berkhidmat pada bila-bila masa,” katanya kepada media dalam satu acara di Sabah hari ini.
Nama Wan Saiful hangat diperkatakan hari ini apabila disebut-sebut antara empat nama yang merupakan calon Bersatu untuk menggantikan tempat Zuraida.
Tiga nama lain adalah bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris.
Wan Saiful bagaimanapun tidak pasti mengenai sumber laporan berita yang mengaitkan nama beliau sebagai salah seorang pengganti Zuraida.
Katanya, sebarang perbincangan mengenai pelantikan itu adalah diantara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya tidak pasti sumber berita itu daripada mana tapi bagi saya mana-mana nama yang dicalonkan kepada Perdana Menteri dan dicalonkan oleh parti adalah satu pertimbangan antara Presiden dan juga Perdana Menteri,” katanya lagi.
Untuk rekod, kontrak Wan Saiful sebagai engerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan tamat akhir bulan ini. – MalaysiaGazette