Home Dunia Tembakan di Oklahoma: Suspek sasar serang pakar bedah

Tembakan di Oklahoma: Suspek sasar serang pakar bedah

Kawalan ketat oleh polis di Hospital St Francis selepas seorang pesakit melakukan tembakan menyebabkan empat kematian. Foto Twitter

TUSLA – Lelaki bersenjata yang membunuh tiga pekerja dan seorang pesakit di hospital Oklahoma menyasarkan pakar bedah yang melakukan pembedahan belakangnya.

Dr Preston Phillips terbunuh dalam serangan pada Rabu itu.

Polis menamakan mangsa lain sebagai Dr Stephanie Husen, Amanda Glenn dan William Love, pada sidang akhbar.

Suspek disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan yang dilakukan sendiri.

Polis berkata, suspek telah membeli senapang AR 15 separa automatik hanya beberapa jam sebelum tembakan.

Dia juga bersenjatakan pistol.

Ketua polis Tulsa Wendell Franklin berkata, lelaki itu “menyalahkan Dr Phillips kerana kesakitan berterusan yang dialaminya’ selepas pembedahan yang dilakukan di Hospital St Francis pada 19 Mei lalu.

Selepas keluar dari hospital, suspek “menelefon beberapa kali selama beberapa hari mengadu sakit dan mahukan rawatan tambahan”, kata Franklin.

Dia menambah, sepucuk surat yang ditemui dari tempat kejadian menjelaskan bahawa suspek “datang dengan niat untuk membunuh Dr Phillips dan sesiapa sahaja yang menghalangnya”.

“Surat itu memberitahu kami kisah itu. Ini (pembunuhan) telah dirancang,” kata Franklin.

Polis dilaporkan tiba di bangunan perubatan tiga minit selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu pada petang Rabu.

Sebanyak 10 orang cedera dalam kejadian tersebut. – BBC

4 terbunuh dalam serangan di kampus hospital