Home Politik Benarkan MP ada kes datang Parlimen sehingga mahkamah buat keputusan

Benarkan MP ada kes datang Parlimen sehingga mahkamah buat keputusan

Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Mana-mana ahli Parlimen perlu dibenar meneruskan tugas di Dewan Rakyat sehinggalah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan sama ada individu itu bersalah atau sebaliknya dalam pertuduhan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, kebanyakan kes di mahkamah mengambil masa terlalu untuk membuat keputusan dan selagi itu tertuduh masih tidak bersalah kerana proses kehakiman belum selesai.

“Maka wajarlah ahli Parlimen yang terus diberi elaun itu dibenar mengikuti, mengambil bahagian, mengundi dalam sidang di Dewan Rakyat serta berkhidmat di kawasannya selama tempoh perbicaraan.

“Ini kerana beliau adalah masih tidak bersalah selagi keseluruhan prosesnya belum selesai,” katanya dalam ciapan terbaru di akaun Twitternya hari ini.

Semalam, Kabinet bersetuju dengan cadangan melaksana reformasi Parlimen termasuk meminda Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) sama ada melarang atau membenarkan ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah, digantung daripada menghadiri persidangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu masih diperhalusi untuk disesuaikan dengan perkembangan dan peraturan sedia ada Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, negara ini masih tertakluk kepada prinsip seseorang tidak bersalah sehingga di bukti bersalah.

“Tidak kiralah seseorang itu ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang atau rakyat biasa, negara ini tertakluk kepada prinsip innocent until proven guilty,” katanya.

Ahmad bagaimanapun berkata, perkara itu masih di peringkat cadangan dan ia masih belum dimuktamadkan di Parlimen.

“Itu baru cadangan yang belum dibentang dan belum dibincang dgn Ahli-ahli Parlimen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette