Home Ekonomi Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan

Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan disokong oleh kembalinya semula pelabur global ke dalam pasaran susulan kelonggaran sekatan COVID-19 di seluruh dunia, kata seorang penganalisis.

Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Nazri Khan berkata, beberapa pengurus dana antarabangsa mempertaruhkan bahawa keadaan sukar telahpun berakhir.

Beliau berkata, pelabur global kembali semula ke pasaran Asia selepas penjualan besar-besaran awal tahun ini susulan petanda kelonggaran sekatan COVID-19 di seluruh dunia, implikasi geopolitik konflik Rusia-Ukraine yang semakin mereda dan kesan kecil daripada tindakan tegas pengawalseliaan.

“Kami percaya keadaan sukar mungkin telah berakhir bagi pasaran ekuiti dan ia merupakan petanda baik untuk melabur bagi asas khusus kerana Bursa Malaysia turun hampir 10 peratus dalam tempoh enam bulan lepas, manakala saham Amerika Syarikat (AS) turun lebih daripada 30 peratus dalam tempoh enam bulan.

“Kita boleh katakan bahawa saham global mencatatkan kenaikan kukuh meskipun persekitaran luar yang negatif,” katanya kepada Bernama.

FBM KLCI ditutup rendah pada Jumaat selepas sesi dagangan yang tidak menentu dengan indeks utama itu ditutup pada 1,537.83, turun 12.07 mata atau 0.77 peratus.

Bagaimanapun, suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 494 berbanding 366.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, bursa tempatan diniagakan bercampur-campur di tengah-tengah prestasi kukuh di pasaran serantau dan sentimen berhati-hati di Wall Street.

Bagi asas mingguan, FBM KLCI susut 8.94 mata untuk ditutup pada minggu yang baru berakhir ini pada 1,537.82 daripada 1,546.76 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBMT100 berkurangan 4.95 mata kepada 10,702.73, Indeks FBM Emas Shariah turun 27.40 mata kepada 11,364.49, Indeks FBM Emas meningkat 1.82 mata kepada 11,012.94, FBM ACE melonjak 125.25 mata kepada 5,271.95, dan FBM 70 mengukuh 225.63 mata kepada 13,324.19.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 98.09 mata kepada 7,911.63, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.36 mata kepada 199.77 dan Indeks Tenaga susut sebanyak 3.09 mata kepada 810.81.

Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 25.62 mata kepada 16,618.79, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 48.42 mata kepada 1,878.70 dan Indeks Teknologi naik 3.26 mata kepada 69.71.

Jumlah dagangan mingguan turun sedikit kepada 14.14 bilion unit bernilai RM13.99 bilion berbanding 15.03 bilion unit bernilai RM9.77 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 10.53 bilion saham bernilai RM13.14 bilion daripada 9.99 bilion saham bernilai RM8.63 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.55 bilion unit bernilai RM288.17 juta berbanding 1.96 bilion unit bernilai RM385.97 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 2.05 bilion saham bernilai RM556.59 juta daripada 2.91 bilion saham bernilai RM745.96 juta pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette