Home Nasional Melaka sasar selesai 1,509 pembedahan tertunggak tahun ini

Melaka sasar selesai 1,509 pembedahan tertunggak tahun ini

Dr Muhamad Akmal menyempurnakan Majlis Perasmian Trak Wellness On Wheel (WOW) JKNM di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Melaka, di Banda Hilir, Melaka hari ini.

MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) optimis menyelesaikan 1,509 kes pembedahan tertunggak yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 menjelang akhir tahun ini.

Pengarahnya Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, angka itu adalah baki daripada kira-kira 1,700 daripada pembedahan tertunggak yang telah direkodkan di negeri ini sejak Januari tahun lalu.

“Sebanyak 1,059 kes pembedahan tertunggak sedang diselesaikan di semua hospital besar pada setiap Sabtu dan Pembedahan Perdana termasuk mendapatkan bantuan daripada pakar dari luar negeri.

“Kita telah kumpulkan semua pakar-pakar ini untuk bersama-sama membantu menjalankan pembedahan terutama membabitkan kes-kes kecemasan dengan bantuan pakar antaranya dari Hospital Muar, Johor; Tampin, Negeri Sembilan, Serdang, Selangor dan Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Trak Wellness On Wheel (WOW) JKNM oleh Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Melaka, di Banda Hilir di sini hari ini.

Tambahnya tahun lalu, JKNM telah berjaya selesaikan hampir 50 peratus kes tertunggak namun terhenti selepas kemasukan Varian Delta pada pertengahan tahun.

“Dengan peruntukan baru yang diterima tahun ini, kita sasarkan untuk selesaikan baki kes sehingga 25 peratus atau 659 kes yang akan diserahkan kepada hospital swasta.

“Bagi kes-kes pembedahan kecil seperti pembedahan katarak atau telinga akan dihantar ke hospital di Alor Gajah dan Jasin, manakala kes besar akan dijalankan di Hospital Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette