PROGRAM perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT) bagi menggantikan pesawat-pesawat Hawk dan Aermacchi MB339CM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sepertimana diumumkan dua tahun lalu telah meletakkan negara dalam radar firma-firma aeroangkasa.
TUDM pada 2019 telah merangka Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia 2055 atau dikenali sebagai CAP55 (Capability Development 55) bagi membolehkan angkatan udara itu dibangunkan sebagai sebuah pasukan keselamatan yang berkesan dan efisyen menerusi penstrukturan aset utama pada masa kini dan depan.
CAP55 merancang pelan pembangunan kemampuan TUDM sehingga tahun 2055 yang merangkumi perolehan dan peningkatan aset-aset baharu angkatan itu serta keupayaan yang hebat. Salah satunya adalah perolehan sehingga 36 pesawat LCA/LIFT.
Sejak itu, negara-negara pengeluar pesawat-pesawat tempur dalam kelas ini berlumba-lumba mengetengahkan produk masing-masing termasuk melobi kehebatan menerusi media sosial yang turut menarik perdebatan warga maya dalam dan luar negara.
CAP55 menyasarkan keupayaan dua skuadron pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) dan skuadron pesawat penggempur ringan (LCA).
Difahamkan, enam syarikat telah mengemukakan cadangan bagi merebut kontrak membekalkan 18 buah LCA dengan kos RM4 bilion.
Antaranya ialah Korea Aerospace Industries (KAI) menawarkan pesawat FA-50, Turkey Aerospace Industries (Hürjet), China National Aero-Technology Import & Export Corp (L-15). Leonardo (M-346), Hindustan Aeronautics Ltd (Tejas) dan ATSC dan Rosoboronexport (MiG-35).
Mengikut sumber industri, sebahagian daripada kos perolehan akan dibiayai menerusi tukaran dagangan termasuklah minyak sawit, namun jumlah komoditi sebenar tidak didedahkan.
Walaupun hingga kini tiada kenyataan rasmi daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) atau TUDM dalam hal tersebut tetapi mengikut andaian sumber industri, calon pesawat yang menjadi pilihan bakal diumumkan pada tahun ini dengan jangkaan pada Mac atau April.
Mengikut kontrak, syarikat yang berjaya perlu menyiapkan pembinaan kesemua pesawat- dalam tempoh 36 bulan dengan penerimaan pertama pada tahun 2025.
Ciri-ciri yang ditekankan ialah boleh melakukan pengisian minyak di udara, berupaya melancarkan tembakan peluru berpandu ke sasaran melangkaui penglihatan (BVR) dan berkelajuan supersonik.
Satu lagi aspek penting yang ditekankan oleh Mindef ialah firma yang dipilih hendaklah mempunyai keupayaan melaksanakan kerja-kerja senggaraan (MRO) dalam negara.
Dalam aspek ini, ATSC mempunyai kelebihan kerana syarikat yang dimiliki oleh National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd. (Nadi) berpengalaman dalam menjalankan kerja-kerja senggaraan pesawat TUDM.
ATSC bertanggungjawab menyelenggara pesawat MiG-29N dan Sukhoi SU-30MKM termasuk mendapat sokongan teknikal dari syarikat pembuat pesawat dari Rusia.
Kru dan juruteknik ATSC juga pada tahun 2004 telah berjaya melakukan kerja-kerja rombak rawat kerangka beberapa pesawat MiG-29N yang mencapai 1,000 jam penerbangan atau 10 tahun tempoh penggunaan tanpa perlu menghantar pesawat ke Rusia.
Cubaan Rusia menerusi ATSC mencalonkan MiG-35 walaupun dilihat sebagai terkeluar daripada kelas saingan, tetapi kebarangkalian jika terpilih tidak mustahil kerana pada akhirnya tawaran yang paling menarik dan menguntungkan menjadi penentu.
Rusia sebelum ini telah beberapa kali mengusulkan cadangan untuk membeli kesemua pesawat MiG-29N sekiranya mana-mana pesawat buatan negara itu dipilih TUDM.
Ini kerana MiG-35 merupakan pesawat MRCA yang keperluannya pada TUDM sangat mendesak tetapi pada masa sama dibelenggu isu kos kerana mengoperasikan LCA lebih ekonomi.
MiG-35 dilengkapi radar AESA Zhuk-MA yang berupaya mengesan sasaran udara sejauh 160 kilometer (km) dan 300km bagi sasaran laut. Daripada aspek persenjataan, ia boleh membawa 7,000kg beban tempur seperti peluru berpandu antipesawat, peluru berpandu antikapal dan bom.
Dengan pengalaman TUDM sendiri yang telah mengoperasikan pesawat buatan Rusia sejak 1995 khususnya MiG-29N serta arif tentang selok-belok jentera buatan Eropah Timur itu, ia memberi banyak kelebihan apatah lagi MiG-35 mempunyai perstasi lebih baik.
Jika ada menganggap pemilihan MiG-35 melengkaui cadangan asal TUDM yang inginkan LCA, sebaliknya memiliki MRCA menggandakan keupayaan sedia ada apatah lagi jika skuadron berkenaan di tempatkan di Malaysia Timur.
Begitu juga HAL yang bersedia untuk membina pusat MRO, malah akan melakukan pelaburan besar sebagai tawaran kepada negara. Dikatakan juga Tejas mendahului lain-lain pesaing kerana ciri-ciri yang ada pada pesawat tersebut menepati spesifikasi yang diketengahkan TUDM.
Tejas yang dikelaskan sebagai pesawat tempur generasi keempat telah meletakkan India dalam kelab eksklusif pengeluar pesawat pejuang yang mana teknologi kejuruteraannya bukan dikuasai oleh banyak negara.
India yang merupakan kuasa udara keempat terkuat di dunia selepas Amerika Syarikat (AS), Rusia dan Israel memiliki kira-kira 1,500 buah pesawat termasuk 270 Sukhoi SU-30MKI, 65 buah MiG-29, 36 pesawat Rafale, 45 buah Mirage 2000 dan 100 MiG-21.
Walaupun mempunyai jarak operasi terhad tetapi Tejas boleh membawa beban tempur hampir sama seperti pesawat pejuang moden sedia ada meliputi peluru berpandu antipesawat jarak jauh, bom panduan laser dan bom konvensional.
Bisa sebenar HAL Tejas Mk1 adalah keupayaannya untuk melancarkan peluru berpandu antikapal supersonik Brahmos NG yang kini sedang dipertingkatkan dan dijangka boleh diintegrasikan dua tahun lagi.
Brahmos NG adalah versi termaju peluru berpandu Brahmos A yang boleh menembak sasaran sejauh 290 kilometer. Siapa tahu, mungkin juga Tejas menjadi platform pertahanan udara dan maritim negara yang akan digeruni musuh.
Sekiranya tukaran dagang menjadi sandaran, India sebagai negara pengguna minyak sawit terbesar dunia iaitu kira-kira 20 peratus daripada bekalan global ada kelebihan.
Negara itu mengimport komoditi tersebut dari Indonesia dan Malaysia iaitu kira-kira sembilan juta tan setahun. Dalam konteks Malaysia pula, India adalah pengimport minyak sawit terbesar negara dikuti Belanda, Pakistan, China dan Amerika Syarikat.
Eksport sawit ke India pada tahun 2020 menyumbang sebanyak RM7.2 bilion dan RM8.9 bilion tahun sebelumnya dengan pendapatan keseluruhan negara hasil minyak sawit pada 2020 adalah RM36.87 bilion.
Biarpun pesawat KAI T50 kerap disebut-sebut mempunyai peluang cerah dalam persaingan LCA TUDM berdasarkan ciri-ciri pesawat dan penggunaan meluas selain teknologi Korea Selatan yang diasaskan daripada pesawat barat, kekangan peluang tetap ada.
KAI T50 yang kini dimiliki tentera udara Indonesia sebanyak 16 buah, Thailand (12) dan Filipina (12) boleh ditolak sekiranya TUDM berpegang pada pendirian untuk tidak mahu mengoperasikan pesawat yang sama dengan negara jiran.
Korea Selatan pula lebih berminat untuk melaksanakan jualan secara biasa tanpa melibatkan pertukaran komoditi dan ini boleh merencatkan peluang.
Tentang peluang Turki, walaupun tahun lalu negara itu telah memeterai kerjasama untuk membangunkan program latihan dalam bidang aeroangkasa di sini tapi pesawat Hurjet yang ditawarkan masih dalam pembinaan.
Tidak seperti kerjasama negara dalam pembinaan kenderaan perisai dengan Turki, program LCA sebaliknya lebih fokus pada sebuah platform sedia ada, matang dan terbukti secara operasional.
Dikatakan juga firma Saab dari Sweden turut mencalonkan pesawat Gripen bagi persaingan LCA TUDM. Melihat pada prestasi, Gripen mampu mengalahkan calon-calon lain di samping kualiti pesawatnya buatan Eropah.
SAAB juga merupakan satu-satunya firma yang menawarkan program sewa pesawat kepada negara lain di mana ia boleh disesuaikan mengikut keupayaan kewangan.- MalaysiaGazette
Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan penganalisis pertahanan.