IPOH – Polis menahan teman lelaki kepada wanita yang ditemukan dipercayai dibunuh dan dibakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, di Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar Selasa lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata lelaki berusia 20 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan pada Rabu lepas dan kini direman tujuh hari bermula hari ini.
Semalam, bedah siasat ke atas mayat wanita itu mendapati punca kematiannya adalah akibat hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.
Sebelum ini, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata satu mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh ditemukan dalam keadaan terbakar pada 3.05 petang Selasa lepas.
Adik lelaki mangsa berusia 19 tahun turut membuat laporan mengenai kehilangan wanita itu dipercayai berkaitan dengan penemuan mayat terbakar berdasarkan beberapa barangan dipakai mangsa.
Pada Rabu, polis menemukan seketul batu konkrit yang mempunyai kesan darah berhampiran mayat wanita terbabit yang dipercayai digunakan untuk mencederakan kepala mangsa.- BERNAMA