SEPANG – Perdana Menteri mendoakan semua bakal jemaah Malaysia dapat melaksanakan ibadat dengan baik, tenang dan pulang dengan haji yang mabrur.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memohon bakal jemaah agar dapat mendoakan negara ini terus berjaya, aman damai dan kesejahteraan rakyat yang berkekalan.
“Sebagai satu Keluarga Malaysia, saya meminta para jemaah haji yang akan menunaikan rukun Islam yang ke lima ini agar dapat mendoakan Malaysia terus berjaya, aman damai dengan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang berkekalan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Tabung Haji hari ini.
Ismail Sabri memberi kata-kata semangat dan nasihat itu kepada bakal jemaah haji Malaysia kumpulan pertama tahun ini setelah dua tahun ditangguhkan kerana penularan pandemik Covid-19 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amrin Awaluddin
Seramai 298 bakal jemaah haji Malaysia musim ini dijadual berlepas ke Tanah Suci pada hari ini menerusi penerbangan pertama yang dijadual berlepas pada pukul 1.35 tengah
hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Saudi Airlines (SV 5635).
Pesawat itu dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pukul petang waktu Arab Saudi.
Sementara itu, Idris menasihatkan semua bakal jemaah haji perlu menjaga kesihatan disebabkan suasana Covid-19 yang masih boleh mengancam kesihatan.
Beliau juga meminta semua jemaah haji untuk terus mematuhi SOP kesihatan dan berhati-hati supaya tidak terkesan dengan jangkitan Covid atau penyakit berjangkit yang lain semasa berada di Tanah Suci.
“Para jemaah haji juga dinasihatkan agar tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas kerana pada ketika ini adalah musim panas di Arab Saudi dan suhu boleh mancapai kepada 50 darjah celsius,” kata beliau.
Dalam pada itu, Amrin berkata, pihak TH amat berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang telah bersetuju meneruskan semula projek Makkah Route untuk memudahkan proses pra pelepasan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam di KLIA.
“Para jemaah Malaysia tidak perlu lagi melalui proses imigresen semasa tiba di Arab Saudi dan boleh menaiki bas terus ke hotel penginapan masing-masing dan ini akan menjimatkan masa semua jemaah haji.
“Alhamdulillah bagi operasi haji untuk tahun ini, semuanya berjalan dengan lancar walaupun perjalanan musim haji pada tahun ini agak berbeza kerana pandemik Covid-19 tetapi semuanya mengikut perancangan yang telah ditetapkan, insya-Allah,” ujar beliau.
Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan juga Saudi Airlines yang akan membawa jemaah haji negara seramai 14,306 ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima. – MalaysiaGazette