Home Utama Tiga bakal jemaah haji penerbangan pertama positif Covid-19 – Syed Saleh

Tiga bakal jemaah haji penerbangan pertama positif Covid-19 – Syed Saleh

Pengurus Besar Kanan (Haji) Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman bercakap kepada media selepas Pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang. Foto MUHD NA'IM, 04 JUNE 2022.

SEPANG – Seramai tiga bakal jemaah haji disahkan positif Covid-19 selepas membuat ujian PCR sebelum tempoh 56 jam berlepas pada penerbangan pertama hari ini.

Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kesemua mereka kini perlu melalui tempoh kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menunggu sehingga kembali mendapat keputusan ujian PCR yang negatif.

Menurut beliau, sekiranya terdapat kekosongan tempat duduk, ketiga mereka akan dibenarkan untuk meneruskan penerbangan bagi menunaikan haji tahun ini.

“Pada tahun ini bagi penerbangan pertama terdapat tiga bakal jemaah haji ujian PCR positif dan mereka telah maklum kepada kami lebih awal dan kami menasihati mereka melalui proses prosedur KKM di mana mereka perlu melalui tempoh kuarantin yang sepatutnya.

“Selepas itu sekiranya mereka tiada apa-apa lagi simptom, mereka bolehlah mendapat nasihat daripada pihak hospital dan doktor untuk membuat ujian PCR sekali lagi. Jika keputusan mereka negatif dan penerbangan masih ada, kita akan cuba sedaya-upaya untuk mendapatkan tempat duduk yang kosong untuk membawa mereka ke Tanah Haji juga tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berswafoto bersama sebahagian jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah Pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Pussat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang. Foto MUHD NA’IM, 04 JUN 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan jemaah haji Malaysia kumpulan pertama tahun ini yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Penerbangan pertama jemaah haji diadakan setelah dua tahun ibadah haji ditangguhkan kerana penularan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Syed Saleh memberitahu, TH perlu mematuhi ketetapan yang dibuat kerajaan Arab Saudi di mana mereka yang keputusan ujian PCR negatif sahaja yang dibenarkan untuk menunaikan fardu haji.

Menurut beliau, begitu juga dengan syarikat penerbangan  yang menetapkan mereka yang mendapat keputusan ujian PCR negatif sahaja yang boleh meneruskan perjalanan dalam penerbangan.

“Saya rasa yang lebih penting di sini kita bakal-bakal haji yang terbang dalam tempoh akan datang bagi penerbangan yang seterusnya juga harus teliti mengambil ujian PCR dalam tempoh 56 jam sebelum waktu lapor diri di stesen berlepas.

“Jika positif, mereka dengan segera memaklumkan kepada Pusat Kontak TH di mana kita boleh menasihati mereka dan membuat perancangan Seterusnya dan membantu mereka juga menunaikan haji pada tahun ini.

Sebahagian jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah Pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Pussat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang. Foto MUHD NA’IM, 04 JUNE 2022.

Ditanya keadaan jemaah mahram yang berpasangan di mana salah seorang positif, Syed Saleh berkata, ia terpulang kepada mereka untuk meneruskan bagi seorang yang negatif atau menunggu untuk pergi bersama.

“Ini kerana jika mereka pergi bersaing akan ditempatkan hotel berasingan yang mungkin akan menimbul kerumitan ketika mereka berada di sana. Terpulang kepada mereka hendak terus atau tidak,” katanya.

Seramai 298 bakal jemaah haji Malaysia musim ini dijadual berlepas ke Tanah Suci pada hari ini menerusi penerbangan pertama yang dijadual berlepas pada pukul 1.35 tengah
hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Saudi Airlines (SV 5635).

Pesawat itu dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pukul petang waktu Arab Saudi.

Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan juga Saudi Airlines yang akan membawa jemaah haji negara seramai 14,306 ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama sebahagian jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah Pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Pussat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang. Foto MUHD NA’IM, 04 JUNE 2022.