Home Nasional 2 skuter elektrik di Dataran Merdeka disita, penguatkuasa DBKL lapor polis terhadap...

2 skuter elektrik di Dataran Merdeka disita, penguatkuasa DBKL lapor polis terhadap pengendali

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita dua skuter elektrik yang digunakan di Dataran Merdeka semalam, kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak tersebut.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, sitaan berkenaan dilakukan ketika penguatkuasa DBKL membuat rondaan bermula jam 8 hingga 10 malam.

Kata kenyataan berkenaan, Dataran Merdeka merupakan kawasan yang tidak diwartakan untuk kebenaran kepada aktiviti skuter elektrik.

“Dataran Merdeka merupakan jalan awam yang tidak diwartakan untuk aktiviti skuter elektrik.

“Anggota penguat kuasa DBKL yang membuat rondaan di lokasi menemukan aktiviti tanpa kebenaran ini dan bertindak menyita dua skuter elektrik yang diletakkan di atas Jalan Raja, di sini.

“Tiada kebenaran dikeluarkan oleh DBKL di Dataran Merdeka bagi tujuan aktiviti permainan skuter ini,” kata DBKL.

Dalam masa yang sama, anggota penguatkuasaan DBKL juga telah membuat laporan polis terhadap pengendali aktiviti skuter terbabit kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

Sementara itu, skuter elektrik yang disita telah dibawa ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras. – MalaysiaGazette