Home Nasional Kabinet tidak bincang larangan MP ada kes mahkamah hadir sidang Parlimen

Kabinet tidak bincang larangan MP ada kes mahkamah hadir sidang Parlimen

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar kenangan bersama kanak-kanak pada Program Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Taman Tugu, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat sebarang ketetapan terhadap cadangan melarang atau membenarkan Ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah untuk bersidang di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, perkara itu masih belum dibawa ke meja perbincangan jemaah Kabinet dan ia hanya sekadar cadangan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kita belum bincangkan lagi dalam Kabinet secara terperinci dan antara dalam akta tersebut termasuklah Ahli Parlimen yang dihadapkan ke mahkamah tidak dibenarkan masuk ke Parlimen, sama ada dalam undang-undang atau etika di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Ia masih terlalu awal dan kita belum bincangkan secara terperinci dalam Kabinet. Ia (perbincangan) belum dijadualkan bila lagi dan tidak dibawa pada mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

“Kita tak boleh hanya dengar pandangan saya semata-mata. (Perbincangan di peringkat) Kabinet bermakna (pandangan) semua menteri. Perincian nanti kita akan bincangkan dalam Kabinet,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu, hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ismail Sabri dalam pada itu berkata masih terlalu awal untuk Kabinet membuat ketetapan mengenai cadangan ke arah itu selain jemaah Menteri perlu merujuk semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Sebelum ini, media melaporkan, Kabinet bersetuju dengan cadangan melaksana reformasi Parlimen termasuk meminda Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) sama ada melarang atau membenarkan Ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah, digantung daripada menghadiri persidangan.

Malah Wan Junaidi turut berkata, perkara itu masih diperhalusi untuk disesuaikan dengan perkembangan dan peraturan sedia ada Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette