Home Politik Pindaan perlembagaan, UMNO masih menunggu keputusan RoS

Pindaan perlembagaan, UMNO masih menunggu keputusan RoS

Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – UMNO masih menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pindaan perlembagaan parti itu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas Mei lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap pindaan itu mendapat kelulusan RoS dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pada dasarnya RoS tidak ada halangan untuk meluluskan pindaan itu kerana jabatan itu telah meluluskan pemilihan parti MCA sebelum ini.

“Proses pindaan UMNO ini pula sama dengan MCA. Kita harap apa yang diminta UMNO akan tercapai.

“MCA melalui pindaan perlembagaannya minta melanjutkan pemilihan parti selewat-lewatnya enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

“Manakala pindaan UMNO pula mahukan pemilihan parti diadakan setiap kali selepas PRU,” katanya di Permukiman Penerangan UMNO Malaysia di Pahang, hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO lalu telah meluluskan usul pindaan perlembagaan bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Usul itu diluluskan sebulat suara oleh 2,586 perwakilan UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara. – MalaysiaGazette