KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menjelaskan langkah kerajaan untuk mengembalikan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya dalam peringkat kajian.
Langkah itu, menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya cadangan kerana pelaksanaan GST mampu memberi pendapatan RM30 bilion kepada negara.
“Ramai yang terus melompat apabila saya kata tidak menolak kemungkinan (GST dikembalikan) tapi saya kata kita perlu kaji buruk dan baiknya bukan saya kata umumkan akan laksanakan GST.
“Saya kata akan buat kajian sebab salah satunya kerajaan kekurangan pendapatan kerana kita ubah GST ke SST.
“Kita kekurangan pendapatan sebanyak RM30 bilion setahun kerana pindah daripada GST ke SST,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu, hari ini.
Rabu lalu, Ismail Sabri berkata langkah untuk mengembalikan GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Ismail Sabri dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo dilaporkan sebagai berkata, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengutamakan kepentingan rakyat sekiranya GST ingin dikembalikan semula.
“Rakyat perlu difahamkan kalau kita nak buat apa-apa atau perkenalkan sistem percukaian yang baharu.
“Kalau kita rasa SST sudah tidak sesuai apa yang kita nak gantikan dan rakyat perlu difahamkan dahulu. Kita nak apa yang diumumkan diterima rakyat bukan ditolak rakyat.
“Jangan bimbang sampai masanya kita akan dedahkan dan umumkan. Tapi masa ini masih dalam peringkat kajian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Rampas dahulu semua harta orang bersabit kerajaan baru lah halal gst dilaksanakan . Aku tak berani sebut orang ini . Kau fikir sendiri siapa mereka .