KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullh bertitah, walaupun kesedaran dan keprihatinan alam sekitar semakin meningkat di seluruh dunia sejak lima dekad lalu, namun pelbagai kegiatan manusia telah memusnahkan ‘jaringan kehidupan’ yang kita perlukan untuk bekalan makanan, air, udara bersih dan seumpamanya.
Sehubungan dengan itu, baginda mengajak seluruh warga Malaysia melestarikan alam sekitar serta terlibat dengan usaha-usaha badan pertubuhan dunia untuk memelihara alam semulajadi.
Baginda bertitah demikian dalam perutusan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia ke-50.
Menurut Tengku Hassanal Ibrahim, baginda menzahirkan sentiasa menyokong inisiatif utama termasuk cadangan untuk melindungi dan memelihara sekurang-kurangnya 30 peratus daratan dan lautan menjelang 2030.
“Saya juga menyeru agar seluruh agensi awam dan swasta di Malaysia menjadi peseta aktif dalam rundingan iklim dan biodiversiti peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” titah baginda.
Menurut Tengku Hassanal Ibrahim, semua pihak perlu menterjemahkan aspirasi menjadi realiti, sebagai contoh Hutan Simpan Chini diperluas untuk meningkatkan perlindungan kepada tumbuhan dan haiwan serta memastikan kehidupan Orang Asli di sekitar tasik tidak terus terancam.
Kerajaan Pahang telah selesai mewartakan tambahan kawasan Hutan Simpan Chini tersebut pada 5 Ogos 2021, daripada 4,600 hektar kepada kini 6,502.8 hektar.
ARTIKEL BERKAITAN :
Sasar tanam 100 juta pokok selama lima tahun
JPNP tanam satu pokok untuk setiap anak dilahirkan di Pahang
400 pokok simbolik Pahang Pride Kid
Selain itu, baginda bertitah dua acara utama berkaitan dengan alam sekitar akan berlangsung pada tahun ini.
Acara melibatkan mesyuarat tahunan ke-27 Conference of Parties on Climate Change (COP27) di Mesir dan acara kedua pula merupakan mesyuarat dua tahun sekali UN Biodiversity Treaty (COP15) di China di mana Malaysia sebagai negara anggota,
“Malaysia mesti melibatkan diri secara aktif dengan menyertai dialog antarabangsa, dengan bangganya kita perlu menyokong kebanyakan komitmen yang dipersetujui tetapi perlu juga bersifat realistik.
“Pengurangan penggunaan tenaga sedikit sebanyak akan melumpuhkan dan menjejaskan ekonomi negara,” titah baginda.
Titah Tengku Hassanal Ibrahim, masyarakat perlu dididik tentang penjimatan tenaga dengan pelbagai cara sepefti mengurangkan penggunaan pendingin hawa atau menggunakan tenaga dengan lebih efisien.
Untuk rekod, tarikh 5 Jun pada setiap tahun telah dikhususkan sebagai Hari Alam Sekitar Sedunia sejak tahun 1972. – MalaysiaGazette