SATUN – Tentera Laut Thailand menemui 59 etnik Rohingya, di Pulau Koh Dong, Satun, semalam.
Gabenor Satun, Ekkarath Leesen berkata, siasatan awal mendapati mereka merancang untuk pergi ke Malaysia dengan menggunakan bot dari Bangladesh
Menurut laporan Bangkok Post, bot tersebut meninggalkan pelarian Rohingya, yang terdiri daripada 31 lelaki, 23 perempuan dan lima kanak-kanak, kira-kira seminggu lalu.
Lessen berkata, mereka akan dihantar pulang ke Bangladesh.
Sementara tu, jurucakap tentera laut, Naib Laksamana Pokkrong Monthatphalin berkata, tekong bot tersebut mengarahkan pelarian itu turun dari bot dengan menyatakan Koh Dong merupakan wilayah Malaysia.
Katanya, etnik Rohingya itu dibawa ke tanah besar satun dan didakwa memasuki negara tersebut secara haram.
Tambah beliau, berikutan insiden tersebut tentera laut akan meningkatkan rondaan di Laut Andaman dan sempadan Malaysia.
Dalam pada itu polis Thailand cuba mengenal pasti pihak yang meninggalkan 59 pelarian Rohingya pulau tersebut.
Timbalan Ketua Polis Negara, Leftenan Jeneral, Surachate Hakparn berkata, beliau tidak tahu sama ada warga Thailand terlibat dalam penyeludupan migran itu dan siasatan sedang dilakukan. – MalaysiaGazette